MoU peruntukan pembangkang: Kerajaan alu-alukan rundingan kembali

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil merangkap jurucakap Kerajaan Perpaduan bercakap pada sidang media mingguan Kabinet, di Kementerian Komunikasi pada Jumaat. Foto Bernama
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil merangkap jurucakap Kerajaan Perpaduan bercakap pada sidang media mingguan Kabinet, di Kementerian Komunikasi pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan mengalu-alukan Perikatan Nasional (PN) untuk kembali ke meja rundingan bagi membincangkan Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.

Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil berkata, proses perbincangan masih ada walaupun pembangkang sebelum ini pernah menolak tawaran tersebut.

"Prosesnya ada. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof adalah pihak yang boleh dihubungi untuk meneruskan rundingan.

"Jadi kita alu-alukan," katanya menerusi sidang akhbar mingguan pasca Mesyuarat Kabinet, di sini pada Jumaat.

Akhbar ini pada Khamis melaporkan PN bersedia untuk kembali berunding mengenai MoU berkenaan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pertemuan telah diadakan antara beliau dan Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bersama Fadillah baru-baru ini.

Pada 15 September lalu, Hamzah mengesahkan PN sebulat suara menolak dua draf MoU Ahli Parlimen pembangkang selepas mendakwa ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan nilai budaya, moral serta agama, selain boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa, serta mengongkong kebebasan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!