Perluas kempen kesedaran rasuah, integriti, salah guna kuasa

Laporan Sinar Harian mengenai empat penguat kuasa di Seremban direman empat hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima rasuah. (Gambar kecil: Hamdan Daniel)
Laporan Sinar Harian mengenai empat penguat kuasa di Seremban direman empat hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima rasuah. (Gambar kecil: Hamdan Daniel)
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan disaran memperluas kempen kesedaran berkaitan rasuah, integriti dan salah guna kuasa kepada golongan kanak-kanak bermula di bangku sekolah rendah.

Pengerusi Gabungan Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M Sharib berkata, usaha itu perlu dilakukan segera demi kemakmuran negara Malaysia tercinta.

"Kita tidak mahu mewariskan budaya rasuah ini kepada generasi seterusnya. Maka rantaian jenayah tersebut haruslah diputuskan segera agar tidak terus menjadi akar yang terus membelenggu kehidupan rakyat.

"Selain itu, kerajaan haruslah mempunyai pelan lebih jelas dan efisien untuk memastikan amalan rasuah dihapuskan segera demi kelansungan ekonomi lebih baik dan mutu perkhidmatan organisasi berkenaan dapat dirasai generasi akan datang," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sebelum ini, empat penguat kuasa di Seremban direman empat hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima rasuah.

Perbuatan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang bagi kesalahan cukai jalan dan permit Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) yang telah tamat tempoh.

Tambah Hamdan Daniel, perbuatan salah laku penguat kuasa tersebut mencemarkan nama baik penjawat awam yang lain.

"Malah rakyat melihat seolah-olah rasuah ada di mana-mana. Ini tentulah perkara yang amat membimbangkan kerana pemeriksaan di Puspakom bertujuan memastikan keselamatan jalan raya terjamin bukan sahaja untuk pemandu itu sendiri bahkan pengguna jalan raya yang lain.

Artikel Berkaitan:

"Sangat membimbangkan, nahas kemalangan jalan raya juga tidak banyak menunjukkan penurunan, ini dikaitkan pula dengan amalan rasuah yang berterusan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!