Negeri Sembilan bentang belanjawan berimbang, peruntukan RM590 juta pada 2025

Aminuddin (tengah) menunjukkan beg mengandungi buku Belanjawan 2025 yang dibentangkan pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Ke-15, hari ini. Foto Bernama
Aminuddin (tengah) menunjukkan beg mengandungi buku Belanjawan 2025 yang dibentangkan pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Ke-15, hari ini. Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan hari ini membentangkan Belanjawan 2025 dengan mengekalkan tema 'Bersama Membina Negeri Madani' merupakan belanjawan berimbang dengan anggaran hasil dan belanja mengurus sebanyak RM590 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, anggaran hasil tahun hadapan menyaksikan peningkatan sebanyak RM70 juta atau 13.46 peratus berbanding RM520 juta pada tahun 2024.

"Hasil bukan cukai dijangka terus menjadi penyumbang utama hasil tahun hadapan iaitu dengan anggaran RM364.57 juta atau 61.79 peratus.

"Ia merupakan peningkatan berjumlah RM64.33 juta berbanding RM300.24 juta pada tahun 2024, peningkatan ini adalah seiring dengan pembangunan pesat sektor hartanah dan perindustrian di kawasan koridor pembangunan Malaysia Vision Valley (MVV) 2.0," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Pertama: Rang Undang-Undang Perbekalan (2025) 2024 (Belanjawan Negeri Sembilan Tahun 2025) pada Persidangan Ketiga (Belanjawan), Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15 di sini pada Jumaat.

Menurutnya, hasil cukai pula adalah sebanyak RM159.35 juta diikuti terimaan bukan hasil sebanyak RM59.75 juta.

"Perbelanjaan mengurus yang diperuntukkan tahun hadapan pula adalah termasuk RM135 juta bagi anggaran belanja pembangunan.

"Ia merupakan peningkatan sebanyak RM35 juta berbanding anggaran belanja mengurus pada tahun sebelumnya. Perbelanjaan tertinggi disediakan bagi maksud emolumen sebanyak RM238.49 juta ataupun 40.42 peratus.

Artikel Berkaitan:

"Seterusnya pemberiaan dan kenaan bayaran tetap RM214.26 juta ataupun 36.32 peratus selain perkhidmatan dan bekalan sebanyak RM129.74 juta, perolehan aset sebanyak RM2.45 juta dan lain-lain perbelanjaan sebanyak RM5.06 juta," katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, menerusi belanjawan kali ini, sebanyak 23 inisiatif baharu diperkenalkan dan 43 inisiatif sedia ada akan dikekalkan atau ditambah baik yang menjadikan jumlah inisiatif Belanjawan 2025 adalah sebanyak 66 inisiatif dengan peruntukan berjumlah RM96.23 juta.

Dalam belanjawan ini ia turut membabitkan inisiatif baharu antaranya termasuklah pembinaan Pavilion Kekal MAHA Negeri Sembilan, bayaran setengah bulan elaun kepada guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) tulen yang bercuti bersalin dua bulan dan bayaran elaun khas kepada guru besar Sekolah Agama Rakyat.

Selain itu terdapat juga elaun khas penyelaras KAFA di premis Kementerian Pendidikan selain caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada bilal, siak dan pembantu am wanita di masjid.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!