Satu langkah bermakna jika KPM berjaya yakinkan Taliban buka semula sekolah untuk wanita
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan satu langkah ke hadapan jika berjaya meyakinkan Taliban membuka semula sekolah kepada kaum wanita yang amat bermakna untuk tamadun dunia antarabangsa.
Setiausaha Wanita Parti Keadilan Rakyat (PRK), Loh Ker Chean berkata, kerajaan sedang menampilkan nilai-nilai Malaysia yang progresif kepada Taliban dan bukan menerima fahaman agar hak pendidikan wanita dinafikan.
“Tatkala dunia menyaksikan kebangkitan kuasa sayap kanan yang ekstrem, Malaysia mampu memainkan peranan untuk meredakan suasana ketegangan dengan menampilkan model Malaysia sederhana, progresif dan inklusif.
“Kita berbangga kerana hak pendidikan yang sama rata kepada kaum wanita menjadi prinsip dipegang bersama tanpa mengira kaum, agama dan gender.
"Malaysia boleh memimpin dengan menjadikan model kita sebagai teladan negara muslim atau Islam yang lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai rujukan amalan terbaik dalam membangunkan dasar pendidikan di negara tersebut.
KPM dalam satu kenyataan berkata, ia meliputi aspek pembangunan kurikulum, latihan dan pembangunan guru serta teknologi pendidikan.
Menurutnya, kunjungan itu memberi pendedahan kepada delegasi untuk melihat sendiri dan memahami model pendidikan terbaik di negara Islam moden yang disegani di peringkat antarabangsa.
Mengulas lanjut, Ker Chean memberitahu bahawa pihaknya menyatakan sokongan penuh kepada KPM menjadi tuan rumah kunjungan delegasi tersebut.
“Sungguhpun Malaysia merupakan sebuah negara majoriti muslim yang mengangkat Islam sebagai agama rasmi, namun kita memiliki satu sistem pendidikan inklusif, merangkumi aliran bahasa dan budaya pelbagai.
“Wanita Keadilan menyeru agar rakyat Malaysia memberi sokongan kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek supaya terus ke hadapan dalam usaha memperjuangkan hak wanita, tidak kira dalam pekarangan sekolah atau khalayak, sama ada budak belum baligh mahupun gadis akil baligh,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!