PDRM tawar pengurangan saman di semua balai polis bulan depan
KUALA LUMPUR - Orang ramai yang berada jauh dari ibu kota dan tidak dapat menikmati pengurangan saman sehingga 60 peratus
sempena Program Dua Tahun Kerajaan Madani (2TM) tidak perlu panik apabila polis akan memperluaskan diskaun saman di balai-balai seluruh negara.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya sedang mengkaji jumlah diskaun yang akan diberikan bermula Disember ini.
Beliau berkata, pemberian diskaun saman sebanyak 60 peratus sempena 2TM dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 akan menjadi penanda aras kepada program yang akan dianjurkan itu nanti.
Jelasnya, jumlah diskaun saman bakal ditawarkan tersebut bergantung kepada perbincangan yang akan diadakan selepas ini.
"Kita selesaikan dahulu pembayaran saman untuk program 2TM bermula hari ini sehingga Ahad.
"Program diskaun saman di balai-balai seluruh negara akan dilaksanakan seawal-awalnya pertengahan bulan depan dengan jangkaan penawaran pengurangan antara 30 atau 50 peratus.
"Diskaun sehingga 60 peratus selama tiga hari ini adalah istimewa sempena program 2TM sahaja," katanya dalam sidang akhbar pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa mengadakan tinjauan di kaunter saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Sementara itu, Mohd Yusri berkata, sehingga jam 3 petang, Jumaat, sebanyak 11,620 saman telah diselesaikan melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM1.03 juta.
Kata beliau, kira-kira 3,000 orang tampil membayar saman dan merebut peluang keemasan yang diberikan oleh kerajaan.
Berdasarkan sambutan baik itu, menurut beliau, pihaknya menjangkakan pertambahan jumlah pembayar saman pada hujung minggu ini.
"Untuk keselesaan pengunjung, kita telah menyediakan kira-kira 25 kaunter pembayaran saman termasuk tujuh kaunter untuk orang kurang upaya, warga emas dan ibu mengandung.
"Kita juga turut menyediakan 21 mesin pembayaran layan diri serta 520 kerusi untuk keselesaan orang ramai menunggu sebelum membuat pembayaran saman," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!