Skandal rasuah ADUN Sabah: Kerajaan digesa laksana reformasi menyeluruh

IDEAS menerusi satu kenyataan bersama beberapa CSO dan individu menggesa kerajaan melaksana reformasi menyeluruh.
IDEAS menerusi satu kenyataan bersama beberapa CSO dan individu menggesa kerajaan melaksana reformasi menyeluruh.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa melaksanakan reformasi yang menyeluruh, bermula dengan pelaksanaan segera Akta Pendanaan Politik susulan skandal pertuduhan rasuah membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam kerajaan Sabah.

Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menerusi satu kenyataan bersama beberapa gabungan organisasi masyarakat sivil (CSO) dan individu berkata, kes sedemikian menekankan sifat saling terkait dalam reformasi institusi dan antara langkah utama termasuk mengukuhkan kebebasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat juga perlu dipertingkatkan dan memperkenalkan ketelusan dalam pemilikan benefisial, menguatkuasakan sebuah undang-undang pengisytiharan harta serta melaksanakan reformasi terhadap peruntukan pembangunan kawasan (CDF).

“Persekitaran media yang bebas dan dilindungi juga penting bagi memastikan wartawan bebas melaporkan sebarang salah laku tanpa perlu rasa takut akan diambil tindakan.

“Reformasi secara terasing sahaja tidak mencukupi. Proses ini perlu berjalan secara serentak bagi mewujudkan sebuah rangka kerja yang teguh demi demokrasi.

“Misalnya, Akta Pendanaan Politik tidak akan berkesan sekiranya pemberi maklumat tidak diberi perlindungan atau agensi penguat kuasa seperti SPRM tergugat kedudukannya,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam), Rasuah Busters, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dan Projek - Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek SAMA).

Seterusnya, Engage, Maha Balakrishnan, Dr Tricia Yeoh, Andrew Khoo dan Agora Society.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, IDEAS turut menyokong akan kepentingan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) sama ada di peringkat negeri atau pusat supaya melakukan operasi secara telus dan sejajar matlamat ekonomi serta kebajikan awam.

“Kami amat bimbang melihat cubaan menyekat liputan media terhadap kes ini apabila kebebasan media adalah tunjang utama dalam sesebuah demokrasi.

“Undang-undang melindungi wartawan dan menggalakkan sebuah persekitaran media terbuka adalah penting bagi meletakkan kebertanggungjawaban ke atas mereka yang memegang kuasa,” ujarnya.

Sehubungan itu, kenyataan bersama tersebut menggesa pihak berkuasa melakukan siasatan menyeluruh dalam semua aspek dan mengemas kini maklumat semasa kepada orang awam bagi menjamin kedaulatan, keadilan dan kesaksamaan undang-undang negara.

Kata kenyataan itu, keadilan bukan sahaja perlu diperjuangkan tetapi perlu dilihat dilaksanakan demi melindungi kemurnian institusi undang-undang di Malaysia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!