AS halang Israel jual jet F-16 terpakai kepada Croatia
ZAGREB - CROATIA. Amerika Syarikat (AS) dilapor menghalang penjualan 12 unit jet tempur F-16 terpakai milik Israel kepada Croatia.
Urus niaga itu melibatkan perjanjian bernilai AS$500 juta (RM2.1 bilion).
Difahamkan, AS membuat tuntutan supaya Tel-Aviv menghapuskan pengubahsuaian eletronik yang dibuat ke atas pesawat perang terbabit, sebelum menjualnya kepada negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) itu.
"Israel telah secara rasmi memaklumkan kepada kami bahawa ia tidak mendapat kelulusan dari AS untuk penghantaran pesawat tersebut ke Croatia," kata Menteri Pertahanan Croatia, Damir Krsticevic, semalam.
Menurut laporan media Croatia, masalah itu timbul kerana jet tempur terbabit telah dilengkapi dengan teknologi Israel.
Perkara itu kononnya menyukarkan pegawai AS untuk mengemaskini dan membaik pulih pesawat yang telah berusia sedakad tersebut.
AS turut meminta Israel supaya membuang sistem pengesan radar sebelum menyerahkan jet tersebut kepada Croatia.
Croatia bagaimanapun bersedia membatalkan pembelian tersebut sekiranya teknologi Israel pada pesawat tempur F-16 buatan AS itu dibuang.
F-16 Barak sepatutnya menggantikan armada MiG21 buatan Soviet yang dikatakan telah ketinggalan zaman. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!