ATM ke-30 perkukuh kerjasama, integrasi pengangkutan serantau

Anthony bercakap pada sidang media sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN Ke-30 (ATM) dan Mesyuarat Pegawai Kanan Pengangkutan Ke-58 (STOM) yang berlangsung di Pullman Kuala Lumpur pada Jumaat. Foto Bernama
Anthony bercakap pada sidang media sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN Ke-30 (ATM) dan Mesyuarat Pegawai Kanan Pengangkutan Ke-58 (STOM) yang berlangsung di Pullman Kuala Lumpur pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN (ATM) ke-30 yang menutup tirai hari ini menerima pakai inisiatif penting untuk meningkatkan keterhubungan, kemampanan dan inovasi dalam sektor pengangkutan ASEAN, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata antara inisiatif itu ialah Protokol ASEAN 5 mengenai Hak Singgah Sendiri antara Titik Dalam Wilayah Negara Anggota ASEAN, Garis Panduan ASEAN mengenai Light Electric Vehicles (LEVs), Garis Panduan ASEAN mengenai Pengangkutan Kargo Bandar dan Garis Panduan ASEAN mengenai Perkongsian Awam-Swasta (PPP) Sektor Pelabuhan.

"Dalam bidang penerbangan, pemeteraian Protokol 5 membolehkan syarikat penerbangan dari negara anggota ASEAN mengendalikan penerbangan dengan hak persinggahan dalam negara ASEAN lain sekali gus meningkatkan sambungan udara serantau.

"Ia juga memudahkan lagi fleksibiliti operasi pengendali penerbangan, mempromosikan pelancongan, dan meningkatkan perdagangan dengan menyediakan pilihan perjalanan udara yang lebih lancar serta mudah di seluruh rantau ini,” katanya dalam sidang media pada akhir mesyuarat di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, Perjanjian Perkhidmatan Udara ASEAN-New Zealand dan Protokol 1 yang turut diterima pakai pada mesyuarat berkenaan menjadi langkah penting dalam mengukuhkan hubungan penerbangan antara ASEAN dan New Zealand.

Anthony berkata, memandangkan kemampanan menjadi tumpuan utama ASEAN maka Garis Panduan ASEAN mengenai LEV yang diterima pakai adalah bertujuan menyokong penggunaan kenderaan elektrik ringan (seperti skuter elektrik, basikal dan kereta bersaiz kecil).

"Selain itu, Garis Panduan ASEAN mengenai Pengangkutan Kargo Bandar menumpukan kepada meningkatkan kecekapan pengangkutan barang di kawasan bandar sambil meminimumkan kesan alam sekitar.

"Garis panduan itu menyediakan strategi pengurusan logistik lebih baik, mengoptimumkan laluan penghantaran selain menggalakkan penggunaan kenderaan rendah kadar pelepasan sekali gus menyumbang kepada pewujudan bandar lebih hijau serta mengurangkan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Di samping itu, Garis Panduan ASEAN mengenai Perkongsian Awam-Swasta (PPP) Sektor Pelabuhan pula bakal menyediakan kerangka kerja untuk menggalakkan pelaburan sektor swasta dalam membangunkan dan mengurus infrastruktur pelabuhan.

Anthony berkata, dalam aspek keselamatan jalan raya, mesyuarat berkenaan sepakat mengeluarkan Kenyataan Bersama Menteri mengenai Kerangka Kerja Keselamatan Jalan Raya Kuala Lumpur 2024 yang dirangka bagi mempertingkatkan lagi keberkesanan keselamatan jalan raya di ASEAN melalui pelaksanaan inisiatif strategik yang mematuhi piawaian antarabangsa dan amalan terbaik.

Sementara itu, Anthony berkata, ASEAN komited untuk terus mengadakan rundingan dan memuktamadkan Perjanjian Perkhidmatan Udara (ASA) dengan negara rakan dialog iaitu China, Jepun dan Korea.

Beliau berkata, perjanjian itu mustahak bagi mengukuhkan keterhubungan serantau dan antara wilayah dengan membolehkan akses pasaran yang lebih meluas, menggalakkan liberalisasi pengangkutan udara serta mempererat hubungan ekonomi dan budaya.

"Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN turut menggunakan kesempatan ini untuk terlibat dalam perbincangan dengan rakan pembangunan utama termasuk Bank Dunia, Bank Pembangunan Asia (ADB), Forum Pengangkutan Antarabangsa (ITF), UNESCAP, dan Bank Pelaburan Infrastruktur Asia (AIIB).

"Mesyuarat ini berperanan sebagai platform meneroka potensi perkongsian dan mendapatkan sokongan daripada organisasi berkenaan dalam usaha memajukan sektor pengangkutan ASEAN,” katanya.

Loke berkata hasil ATM ke-30 dan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Pengangkutan ASEAN ke-58 memperlihatkan komitmen ASEAN untuk memupuk ekosistem pengangkutan yang inklusif dan mampan di seluruh rantau ini.

"Dengan pendekatan memandang ke hadapan ASEAN telah meletakkan asas kukuh untuk mentransformasikan sektor pengangkutan bagi mendepani trend mega,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!