Idealisme perjuangan Bersatu dijangka dibentang di PAT

Datuk Seri Saifuddin Abdullah
Datuk Seri Saifuddin Abdullah
A
A
A

KUANTAN - Idealisme perjuangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dilancarkan oleh Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Julai lalu dijangka dibentang dan dibahaskan secara menyeluruh dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) parti yang dijadualkan berlangsung, 29 November ini.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, ini bagi memberikan ruang kepada perwakilan untuk memahami lebih jelas asas perjuangan parti, sekali gus dapat memperkukuhkan identiti dan hala tuju parti.

"Selepas (Idealisme perjuangan Bersatu) dilancarkan, kita sibuk dengan pemilihan parti, dan tidak sempat untuk membahaskan (dokumen itu).

"Jadi, dalam pertemuan kali pertama dengan perwakilan, saya berharap para perwakilan dapat membahaskan apa yang kita anggap sebagai idealisme paling utama bagi Bersatu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar tentang kad laporan Ahli Parlimen Indera Mahkota di Pusat Khidmatnya di sini, pada Jumaat.

Saifuddin yang merupakan Ahli Parlimen Indera Mahkota memberitahu, dokumen idealisme itu menggariskan Bersatu sebagai sebuah Parti Nasionalis Inklusif abad ke-21, dengan fokus yang berbeza daripada parti-parti lain seperti Pas atau UMNO.

Saifuddin (dua dari kiri) menunjukkan kad laporan Ahli Parlimen Indera Mahkota di Pusat Khidmatnya pada Jumaat.
Saifuddin (dua dari kiri) menunjukkan kad laporan Ahli Parlimen Indera Mahkota di Pusat Khidmatnya pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, Bersatu menonjolkan sebagai parti untuk semua kaum dan agama, dengan keahlian terbuka termasuk kepada Cina, India, dan komuniti bukan Melayu lain, selain sayap bersekutu yang melibatkan ahli di Sabah dan Sarawak.

“Bersatu bukan sekadar parti Melayu atau parti Islam, tetapi parti nasionalis yang merangkumi semua lapisan masyarakat di seluruh Malaysia, dari Semenanjung hingga Sabah dan Sarawak.

"Nasionalisme kita adalah untuk abad ke-21, bukan bersandarkan idea lama tetapi berpaksikan Perlembagaan Malaysia,” jelasnya.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, Bersatu sudah bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka diadakan lebih awal.

Justeru, beliau menyeru agar seluruh ahli parti merapatkan saf dan memperkukuhkan perpaduan sebagai persediaan menghadapi cabaran politik yang bakal mendatang.

“Pemilihan parti sudah selesai, jadi sekarang masa untuk merapatkan saf dan bersedia menghadapi PRU16.

"Kita juga perlu bersiap siaga untuk PRN Sabah yang mungkin diadakan lebih awal, diikuti satu atau dua negeri lain.

"Kalau kita ikut pengalaman lalu, sebelum PRU, kita ada PRN di Melaka dan Johor, jadi ini kemungkinan yang perlu kita persiapkan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!