Impian separuh akhir Aaron-Wooi Yik musnah
IMPIAN beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Masters China di Shenzhen tidak kesampaian.
Pasangan negara yang menghuni ranking kelima dunia terpaksa akur hajat mereka disekat oleh He Ji Ting-Ren Xiang Yu dalam saingan suku akhir selepas bertarung dalam tiga set permainan pada kejohanan berstatus Super 750 itu.
Gandingan tuan rumah bermula positif pada set pertama untuk menang 25-23, biarpun disaing hebat Aaron-Wooi Yik dalam aksi di Gimnasium Shenzhen itu.
Pasangan negara kemudian kembali ke landasan sebenar permainan mereka untuk menundukkan pilihan ketiga kejohanan, 21-17 bagi mengheret pertarungan sehingga ke set penentuan.
Menerusi sokongan padu penonton, Ji Ting-Xiang Yu bangkit mendapatkan semula rentak mereka dan ia berhasil apabila mengesahkan kemenangan 21-12 dalam tempoh 73 minit permainan.
Keputusan tersebut juga menyukarkan peluang Aaron-Wooi Yik yang ketika ini berada di kedudukan kesembilan ranking Jelajah Dunia Akhir (WTF) untuk menembusi kelompok lapan terbaik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!