Tragedi kepala air: Aktiviti riadah dan sukar air di Kampar dibenarkan operasi

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

IPOH - Aktiviti riadah dan sukan air di daerah Kampar dibenarkan beroperasi semula mulai Sabtu.

Pegawai Daerah Kampar, Nazrul Fazami Mohamad berkata, bagaimanapun, semua pengusaha aktiviti berkenaan perlu mematuhi Garis Panduan Pengoperasian Aktiviti Riadah dan Sukan Air yang ditetapkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kampar.

"Sepertimana semua sedia maklum, semua aktiviti riadah dan sukan air ini telah dihentikan serta-merta sebelum ini disebabkan fenomena air besar (kepala air) di Sungai Jahang yang telah meragut tiga nyawa.

"Susulan itu, beberapa sesi pertemuan telah diadakan wakil JPBD Kampar bersama pengusaha terlibat, dan hasilnya satu garis panduan telah diwujudkan sebagai panduan pengusaha terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Pada 16 November lepas, tiga kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) lemas dihanyutkan kepala air ketika terlibat dalam aktiviti rakit arus deras di Sungai Jahang dekat Gopeng.

Kesemua mangsa yang merupakan peserta program pengukuhan kerja berpasukan itu dipercayai terjatuh selepas bot dinaiki mereka terbalik akibat kepala air dan lemas dibawa arus deras.

Sementara itu, salah seorang pengusaha aktiviti riadah dan sukan air, Mohd Shah Rizal Mohd Yasin, 39, berkata, dia menyambut baik keputusan JPBD Kampar membenarkan aktiviti berkenaan dijalankan semula mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Beliau berkata, ini kerana aktiviti berkenaan telah menjadi antara sumber mata pencarian utamanya di kawasan itu sejak sembilan tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

"Bukan saya sahaja, malah 21 pengusaha yang mengusahakan aktiviti sama di kawasan Gopeng dan Kampar begitu lega dengan keputusan yang dibuat JBPD Kampar ini selepas seminggu terpaksa menutup operasi.

"Dengan keputusan yang dibuat juga, kami boleh kembali menjana pendapatan sepertimana kebiasaan selain berjanji akan mematuhi garis panduan ditetapkan,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!