Kerajaan perlu sediakan laporan terperinci penajaan lawatan PM

Jais Abdul Karim
Jais Abdul Karim
A
A
A

SHAH ALAM - Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa kerajaan menyediakan laporan terperinci berhubung penajaan perjalanan dan kos lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke lima buah negara baru-baru ini.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, butiran yang perlu ada dalam laporan berkenaan termasuklah nama syarikat yang menaja termasuklah nilai dan jenis tajaan yang diberikan.

Menurutnya, laporan berkenaan wajar dikongsikan secara terbuka kepada rakyat untuk memastikan kepercayaan masyarakat terhadap integriti pentadbiran kerajaan.

“MCW berpandangan bahawa wujud potensi konflik kepentingan apabila syarikat swasta menaja perjalanan rasmi kerajaan terutama jika syarikat tersebut mempunyai urusan atau kontrak.

“Oleh itu, mekanisme kawal selia yang ketat perlu diwujudkan untuk memastikan tiada keistimewaan atau kelebihan luar biasa diberikan kepada syarikat tersebut dan semua keputusan kerajaan kekal bebas daripada pengaruh penaja,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Jelasnya, kerajaan juga disaran untuk menggubal satu garis panduan rasmi mengenai penerimaan tajaan untuk lawatan rasmi pemimpin negara.

“Polisi ini perlu merangkumi had maksimum tajaan yang dibenarkan, prosedur kelulusan bagi menerima tajaan serta pengawasan oleh badan bebas seperti Jawatankuasa Khas Parlimen atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” tegasnya.

Tambahnya, MCW menyokong usaha kerajaan untuk mempromosikan pelaburan dan perdagangan antarabangsa, namun ia harus dilakukan dengan mematuhi prinsip-prinsip tadbir urus yang baik dan mengutamakan kepentingan rakyat Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai sebuah NGO yang memperjuangkan integriti dan ketelusan, MCW percaya bahawa langkah-langkah di atas akan memastikan bahawa amalan tajaan oleh syarikat swasta tidak menjejaskan integriti pentadbiran negara, malah dapat meningkatkan keyakinan rakyat terhadap usaha kerajaan,” ujarnya.

Pada Khamis, Anwar memberitahu kira-kira 70 hingga 80 peratus kos perjalanan dan lawatan rasminya ke lima negara ditanggung oleh syarikat swasta yang mengikuti rombongan itu.

Anwar menjelaskan, pendekatan di bawah pentadbirannya itu untuk memastikan perbelanjaan membiayai lawatan rasmi ke luar negara diuruskan secekap mungkin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!