Che' Puan Mahkota Khaleeda lawat keluarga mangsa kemalangan
PASIR GUDANG - Isteri Pemangku Sultan Johor, Che' Puan Mahkota Khaleeda pada Jumaat mencemar duli dengan meluangkan masa melawat anak-anak kepada Allahyarham Mohamad Redzuan Mohd Rudi, 37, dan Allahyarham Linda Mohd A Aziz yang maut dalam kemalangan di Jalan Besar/Jalan Masjid di sini pada awal pagi 16 November lalu.
Selain bertanya khabar, Che' Puan Mahkota Khaleeda yang diiringi Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail@Md On turut menyampaikan sumbangan kurniaan peribadi bagi membantu meringankan beban yang ditanggung keluarga berkenaan.
Kelima-lima anak pasangan berkenaan, Nur Aleeshah Aindah, 17, Mohamad Ikmal Danish,15, Nur Puteri Shahkira,14, Nur Puteri Syahmira, 12, dan Nur Aisyah Humairah, 3, kini dijaga oleh datuk dan nenek mereka, Mohd Rudi Abdul Rahman, 60, dan isteri, Ramlah Kasiran, 56, di Pasir Gudang, Johor.
Dalam kemalangan yang dipercayai berlaku sekitar jam 4 pagi itu, motosikal dinaiki Mohd Redzuan dan Linda dirempuh sebuah kenderaan jenis Perodua Alza dipandu lelaki dipercayai di bawah pengaruh alkohol di simpang empat lampu isyarat Jalan Besar/Jalan Mesjid di sini.
Akibat perlanggaran tersebut, kedua-duanya mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!