Pengecilan lorong lebuh raya tidak libatkan Tahun Baharu Cina, Aidilfitri 2025
KULAI - Pengecilan lorong berikutan projek pembinaan lorong tambahan di Lebuhraya Utara-Selatan laluan Sedenak ke Kulai dijangka tidak dilakukan semasa sambutan perayaan Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri pada 2025.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, kerja-kerja pembinaan lorong tambahan itu akan menyaksikan pengecilan lorong sedia ada kepada 3.5 meter berbanding 3.65 meter ketika ini.
Menurutnya, pengecilan lorong berkenaan dijangka menyebabkan kesesakan memandangkan had laju juga akan dikurangkan daripada 110 km/jam kepada 90 km/jam.
"Kita tidak menutup sebarang lorong, masih ada lagi dua lorong tapi lorongnya dikecilkan. Oleh kerana lorong dikecilkan had laju dikurangkan, jadi kawasan ini akan jadi sesak sedikitlah.
"Sekarang ini setiap lorong selebar 3.65 meter boleh dipandu 110 km/jam, selepas ini 90 kilometer sejam apabila setiap lorong dari 3.65 kepada 3.5 meter lebar.
"Bagaimanapun, ia adalah untuk tujuan yang baik pada masa akan datang " katanya kepada pemberita pada sesi tinjauan lokasi dan sidang media pelebaran lorong di Lebuhraya Utara Selatan (laluan Sedenak), pada Jumaat.
Tambahnya, kerja-kerja pengecilan laluan berkenaan tidak akan mengganggu sambutan perayaan utama pada separuh pertama tahun hadapan.
Ini kerana kata beliau, pihaknya sudah pun mengatur perancangan tidak akan melibatkan pengecilan atau penutupan laluan sehingga bulan Jun.
"Untuk raya (Aidilfitri dan Tahun Baru Cina) tahun depan, tidak akan ada yang terlibat (pengecilan lorong) ... kemudian untuk raya satu lagi (2026), perkara itu sudah siap untuk arah selatan, jadi (kelebaran) 3.65 meter itu akan dikembalikan," katanya.
Sementara itu, Ahmad berkata, pelebaran lorong lebuh raya berkenaan melibatkan Fasa 1 yang merangkumi jarak 22 kilometer dari Senai Utara ke Sedenak dengan peruntukan RM525 juta dijangka siap pada Januari 2028.
Beliau berkata, Fasa 2 yang bermula dari Sedenak hingga Simpang Renggam melibatkan jarak 17 kilometer dengan peruntukan RM506 juta pula dijadualkan bermula pada suku kedua tahun hadapan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!