Kepengerusian ASEAN 2025: Perkukuh komuniti, tangani cabaran serantau

Mohamad yang juga salah seorang ahli panel pada Forum Ilmuwan Malaysia Madani KPT Siri 3 bertajuk 'Halatuju dan Strategi Kepengerusian ASEAN - Malaysia 2025' di Kompleks Seri Perdana malam Jumaat. Foto Bernama
Mohamad yang juga salah seorang ahli panel pada Forum Ilmuwan Malaysia Madani KPT Siri 3 bertajuk 'Halatuju dan Strategi Kepengerusian ASEAN - Malaysia 2025' di Kompleks Seri Perdana malam Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia berperanan penting dalam memperkukuhkan komuniti ASEAN dan menangani cabaran serantau yang semakin kompleks, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata, kepimpinan Malaysia dalam ASEAN juga diharapkan dapat memainkan peranan lebih besar dalam memastikan keutuhan organisasi itu khususnya dalam isu seperti pemulihan demokrasi di Myanmar dan ketegangan di Laut China Selatan.

"Kepengerusian ASEAN ini cenderung kepada komuniti ASEAN dan perlu diperluaskan definisinya selain memperkasakan kerjasama antara negara anggota.

"Mana-mana kita pergi, mesyuarat dua hala dan sebagainya soalan yang ditimbulkan oleh rakan sejawat ialah bagaimana cara untuk kembalikan Myanmar kepada kerajaan demokratik, apa Malaysia hendak lakukan terhadap geopolitik dunia yang sedang kucar-kacir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Forum Ilmuwan Malaysia MADANI bertajuk Hala Tuju dan Strategi Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 yang diadakan di Kompleks Seri Perdana di sini pada Jumaat.

Sesi yang berlangsung hampir dua jam itu menyaksikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai moderator manakala Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Prof Datuk Dr Mohd Faiz Abdullah serta Felo Kehormat Akademi Perak, Bunn Nagara turut menjadi ahli panel.

Laos secara rasmi menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Malaysia pada 11 Oktober lepas semasa Majlis Penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 di Vientiane. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima tukul kayu Pengerusi ASEAN daripada rakan sejawatnya dari Laos, Sonexay Siphandone pada majlis itu.

Mengulas lanjut, Mohamad turut melahirkan kebimbangan mengenai perpecahan dalam kalangan negara ASEAN apabila beberapa negara anggota dilihat condong ke arah ideologi politik berbeza, yang dilihat boleh menjejaskan kestabilan organisasi itu sebagai satu entiti.

Artikel Berkaitan:

"(Namun) ASEAN akan bersepadu semula, kita tidak boleh berdiri sendiri, ekonomi kita adalah ekonomi perdagangan dan jika apa-apa berlaku kepada negara ASEAN tempiasnya akan berlaku kepada Malaysia dan kita juga tidak mahu ASEAN menerima nasib sama seperti OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) dan NAM (Pergerakan Negara-Negara Berkecuali).

"ASEAN merupakan sebuah blok yang mempunyai potensi besar dan sangat dinamik. Seluruh dunia menunggu Malaysia menjadi pengerusi ASEAN. Tugas kita amat besar tapi insya-ALLAH kita boleh lakukannya,” katanya yang turut menyentuh penglibatan Anwar dalam menyantuni kalangan anggota ASEAN dan di peringkat global sebelum ini.

Pada 2025, organisasi itu akan memperingati ulang tahun ke-10 penubuhan Komuniti ASEAN dan Malaysia berhasrat untuk menerima pakai Visi Komuniti ASEAN 2045, yang menetapkan keutamaan strategik untuk 20 tahun akan datang.

Pada 22 Oktober lepas, Mohamad dilaporkan berkata Malaysia komited untuk membina kepercayaan strategik dalam kalangan negara luar melalui dialog yang berterusan, diplomasi dan semangat muhibah semasa memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 2025.

Beliau berkata Malaysia bersama negara anggota lain berhasrat untuk memperluaskan perkongsian ekonomi dengan negara-negara di luar sempadan ASEAN.

Malaysia juga akan terus berusaha mendapatkan komitmen yang lebih besar untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan dalaman ASEAN, sambil memastikan organisasi itu dapat memanfaatkan kemajuan dalam sains, teknologi, dan inovasi serta memperoleh faedah daripada transformasi digital dan teknologi baharu

Malaysia pernah memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005, dan 2015.

Diasaskan pada 8 Ogos 1967, ASEAN kini dianggotai 10 negara Asia Tenggara iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, dan Vietnam.

Timor-Leste masih menunggu keputusan konsensus negara ASEAN untuk diterima sebagai anggota penuh ASEAN. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!