Utara Gaza semakin parah

A
A
A

BEIT LAHIA - Penduduk Palestin di utara Genting Gaza kini bergelut untuk meneruskan hidup berikutan hampir tiada bantuan kemanusiaan tiba sejak 40 hari lalu akibat sekatan ketat Israel.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan segala usaha mereka untuk membantu kira-kira 65,000 hingga 75,000 penduduk di Beit Hanoun, Beit Lahia dan Jabalia sejak awal bulan lalu dihalang rejim Zionis, sekali gus memaksa penutupan bakeri serta dapur kendalian agensi bantuan.

Sukarelawan mengagihkan guni tepung kepada penduduk Palestin di Deir al-Balah.
Sukarelawan mengagihkan guni tepung kepada penduduk Palestin di Deir al-Balah.

Penilaian disokong PBB pada awal November juga memberi amaran tentang krisis kebuluran yang semakin meruncing di utara enklaf tersebut.

Ia setelah Pasukan Pertahanan Israel (IDF) melancarkan kempen pengeboman lebih ganas selama enam minggu kononnya bagi menghalang pejuang Hamas daripada bergabung semula, malah ia turut menggunakan kelaparan sebagai ‘senjata perang’.

Antara 1 dan 18 November, agensi bantuan di bawah PBB merancang 31 misi ke Beit Lahia, namun 27 daripadanya ditolak Israel manakala selebihnya tidak dapat dilaksanakan kerana berdepan halangan Zionis.

Artikel Berkaitan:

Beberapa remaja Palestin mengutip barangan yang boleh digunakan semula di sebuah tapak pelupusan sisa sampah.
Beberapa remaja Palestin mengutip barangan yang boleh digunakan semula di sebuah tapak pelupusan sisa sampah.

“Golongan kanak-kanak, wanita hamil dan ibu yang masih menyusukan bayi antara paling terjejas akibat sekatan penghantaran bantuan kemanusiaan tersebut. Mereka tidak mendapat nutrisi yang diperlukan,” kata jurucakap PBB, Stephane Dujarric.

Majoriti kanak-kanak Palestin kini mengalami malnutrisi yang dikhuatiri menjejaskan tumbesaran mereka.
Majoriti kanak-kanak Palestin kini mengalami malnutrisi yang dikhuatiri menjejaskan tumbesaran mereka.

Menurutnya, penghantaran bantuan ke tiga hospital yang masih beroperasi juga disekat meskipun kemudahan tersebut berdepan kekurangan bekalan ubat-ubatan dan bahan api yang semakin kritikal.

Pada akhir minggu lalu, misi diketuai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menghantar bekalan 10,000 liter bahan api ke Hospital Kamal Adwan di Beit Lahia dan kemudiannya memindahkan seramai 17 pesakit ke Hospital al-Shifa di Bandar Gaza.

Stadium Sukan Yarmuk di Bandar Gaza kini menjadi 'bandar khemah' buat penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal.
Stadium Sukan Yarmuk di Bandar Gaza kini menjadi 'bandar khemah' buat penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal.

“Kakitangan bantuan dipaksa memunggah kesemua bekalan makanan dan ubat-ubatan di pos pemeriksaan Israel sebelum meneruskan misi tersebut,” ujarnya.

COGAT yang merupakan badan di bawah IDF, mengawasi hal ehwal kemanusiaan di Gaza bagaimanapun cuba menemberangkan komuniti antarabangsa apabila ia memberitahu kononnya sebanyak 472 lori bantuan telah memasuki utara wilayah itu melalui lintasan Erez Barat pada akhir minggu lalu.

Kempen pengeboman Zionis terus menyasarkan khemah sementara yang menjadi tempat berlindung penduduk Palestin.
Kempen pengeboman Zionis terus menyasarkan khemah sementara yang menjadi tempat berlindung penduduk Palestin.

Kenyataan tersebut jelas bertentangan dengan situasi sebenar yang didedahkan agensi bantuan antarabangsa.

Ketika ini serangan ganas terus diperhebatkan ke seluruh Gaza selepas IDF menyasarkan kawasan penempatan dan tempat berlindung sementara orang awam serta kawasan sekitar hospital hingga meragut ramai nyawa tidak berdosa hampir setiap hari. - Agensi / AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!