Dunia akhirnya iktiraf jenayah dilakukan Netanyahu
SHAH ALAM – Jenayah perang yang dilakukan oleh Israel akhirnya diiktiraf dunia susulan waran tangkap yang dikeluarkan terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant.
Keputusan tindakan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) itu membuka lembaran baru bahawa nasib rakyat Palestin akan terus terbela.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah yang dibuat oleh ICC itu wajar dan mengalu-alukan tindakan badan kehakiman dunia itu adalah berlandaskan hukum, bukti tentang kezaliman, penindasan dan pembunuhan berterusan oleh rejim Zionis berkenaan.
Keputusan ini juga memberi sinar baru selepas Malaysia menggunakan sebaik-baiknya pentas antarabangsa untuk mendesak dunia mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara dan menyingkirkan Israel daripada keanggotaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Perdana Menteri juga sebelum ini menyuarakan pendirian tegas kerajaan Malaysia itu pada sidang Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC di Peru, Sidang Kemuncak G20 di Brazil dan Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab dan Islam di Riyadh, Arab Saudi baru-baru ini.
Terbaharu pada Khamis, Pendakwa raya tertinggi Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) menggesa 124 negara anggota badan itu supaya bertindak mematuhi waran tangkap yang dikeluarkan terhadap perdana menteri dan bekas menteri pertahanan Israel, serta ketua tentera Hamas Mohammed Deif.
Ketua pendakwa raya ICC, Karim Khan berkata ICC tidak mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan warannya tetapi secara teknikal, namun mana-mana negara yang menandatangani Statut Rom akan diwajibkan untuk menangkap Benjamin Netanyahu, Yoav Gallant jika mereka pergi ke negara mereka.
Malah kebanyakan negara Eropah turut menyokong pengeluaran waran tangkap oleh ICC Netanyahu dan b Gallant.
Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau berkata, adalah sangat penting untuk semua pihak mematuhi undang-undang antarabangsa, sambil menambah bahawa negaranya akan mematuhi keputusan mahkamah antarabangsa itu.
Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi, berkata keputusan ICC harus dihormati dan dilaksanakan, sambil menambah bahawa 'rakyat Palestin berhak mendapat keadilan'.
Menteri Luar Norway, Espen Barth Eide, berkata adalah penting bagi ICC melaksanakan mandatnya dengan cara yang bijaksana dan beliau yakin mahkamah akan meneruskan kes itu berdasarkan standard perbicaraan adil yang tertinggi.
Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan, menyifatkan waran tangkap ICC sebagai langkah 'memberi harapan' dan amat penting untuk membawa pihak berkuasa Israel yang melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin ke muka pengadilan.
Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Josep Borrell, menekankan bahawa keputusan itu adalah tindakan mahkamah yang mesti dihormati dan dilaksanakan.
Setiausaha Agung Amnesty International dan Sokongan Global, Agnes Callamard, menyatakan bahawa Netanyahu kini menjadi 'individu yang dikehendaki' dan menggesa masyarakat antarabangsa untuk memastikan mereka yang terlibat dibawa ke muka pengadilan.
Sepanyol menegaskan akan mematuhi keputusan ICC mengikut undang-undang antarabangsa dan Belgium, Belanda, Switzerland serta Ireland menyatakan sokongan penuh terhadap ICC.
Mereka juga berjanji akan memenuhi komitmen dan kewajipan berkenaan Statut Rom serta Undang-Undang Antarabangsa, bagi memastikan semua pihak bertanggungjawab dari segi undang-undang dalam jenayah perang di Israel dan Gaza dihadapkan ke mahkamah.
Menteri Luar Sweden, Maria Malmer Stenergard, berkata negaranya 'menyokong kerja penting mahkamah serta melindungi kebebasan dan integritinya.
Walaubagaimanapun Amerika Syarikat menolak keputusan ICC untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas menteri pertahanan, Yoav Gallant, menurut Rumah Putih.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!