Seseorang itu tidak bersalah sehinggalah disabit mahkamah - Pakar

Tangkap layar laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Tangkap layar laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) mempertahankan kedudukan Shahul Hameed Shaik Dawoo sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) adalah tepat.

Pensyarah Undang-Undang, Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka, Mohd Ridwan Talib berkata, reputasi Shahul masih belum terjejas selagi mana beliau tidak disahkan bersalah oleh mahkamah.

“Tindakan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang mempersoal mengenai situasi ini tidak memberi sebarang implikasi khususnya dari aspek undang-undang.

“Seseorang itu tidak bersalah sehinggalah dia dibuktikan bersalah atas suatu jenayah di mahkamah.

“Maka, selagi tiada pertuduhan di mahkamah terhadap Shahul, semua pernyataan di dalam Dewan Rakyat tidak memberi apa-apa kesan terhadap reputasi beliau,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sebelum ini, Rayer bertindak mempersoal mengenai alasan Shahul dikembalikan ke tugas CEO dan tidak melantik orang baharu.

Menjawab kepada pertanyaan itu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, tidak adil untuk menuding jari kepada individu tertentu sehingga laporan atau keputusan akhir dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak berkuasa.

Menurutnya, ia ditambah indvidu berkenaan tiada di dalam Dewan Rakyat untuk mempertahankan diri.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Ridwan memaklumkan bahawa reputasi Shahul sebagai CEO HRD Corp masih utuh kerana imejnya telah dipertahankan oleh Steven di Parlimen.

Ujarnya, satu kenyataan rasmi mengenai kedudukan Shahul dalam HRD Corp boleh dilakukan sekiranya beliau masih mahu mempertahankan diri.

Pada masa sama ujarnya, tindakan Rayer tidak menyalahi undang-undang kerana setiap ahli Parlimen boleh membangkitkan semua isu berkaitan kepentingan masyarakat dan negara semasa sesi perbahasan di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun ujarnya, kebebasan tersebut tertakluk kepada perkara-perkara yang menyentuh pelupusan institusi Raja-Raja Melayu dan mempunyai kecenderungan menghasut di bawah Akta Hasutan 1948.

“Malah, seorang ahli Parlimen itu kebal dari segi undang-undang untuk setiap perkara yang dibahas di Parlimen. Imuniti ini dinyatakan dalam Artikel 63 (2) Perlembagaan Persekutuan.

“Di pihak Shahul pula, tiada tindakan undang-undang seperti saman fitnah boleh diambil terhadap Rayer kerana beliau kebal di sisi undang-undang menurut Artikel 63 (2) Perlembagaan Persekutuan.

“Ia sebahagian daripada hak kebebasan bersuara yang diberikan oleh undang- undang kepada seorang wakil rakyat (ahli Parlimen).

“Rayer masih tidak melampaui batas undang-undang. Jadi, situasi sekarang ialah kosong-kosong,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!