'400 hari mengganas, tiba masa mereka dibawa ke muka pengadilan'

Laporan muka depan Sinar Harian pada Sabtu melaporkan mengenai keputusan ICC mengeluarkan waran tangkap ke atas Benjamin Netanyahu.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Sabtu melaporkan mengenai keputusan ICC mengeluarkan waran tangkap ke atas Benjamin Netanyahu.
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan ICC mengeluarkan waran tangkap ke atas Benjamin Netanyahu datang tepat pada waktunya.

Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali menegaskan, selepas lebih 400 hari sejak serangan Israel pada 7 Oktober tahun lalu, sudah tiba masa penjenayah perang yang mendalangi jenayah pembunuhan beramai-ramai ke atas rakyat Palestin itu dibawa ke muka pengadilan.

“Mewakili rakyat Palestin yang sekian lama menderita akibat jenayah genosid rejim Israel, kami berasa komuniti antarabangsa telah menunjukkan sokongan dan solidariti terhadap nasib Palestin serta membuktikan keadilan masih wujud.

“Saya amat berharap komuniti antarabangsa akan mengambil tindakan segera terhadap Netanyahu dan seluruh kerajaannya yang terlibat dalam membuat keputusan menyerang Gaza dan Tebing Barat sekali gus menyebabkan kematian banyak nyawa tidak berdosa,” katanya kepada Sinar Premium.

Tambah Walid, Netanyahu yang setakat ini disekat daripada mengunjungi 124 daripada 193 negara anggota Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, perlu dikenakan tindakan tegas di peringkat tertinggi seperti ICC walaupun ditentang sekutunya, Amerika Syarikat.

Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali.
Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali.

“Selaku anggota tetap Majlis Keselamatan, sekiranya AS mahukan kestabilan dan keamanan di dunia, mereka perlu memperakui dan menghormati keputusan ICC dan membuktikan mereka boleh berlaku adil.

Artikel Berkaitan:

“Sampai bila AS mahu berpihak kepada Israel yang terang-terangan melakukan jenayah perang. Sampai bila mereka mahu memejamkan mata terhadap kezaliman dan penyeksaan yang ditanggung rakyat Palestin selama ini sedangkan banyak negara telah menunjukkan solidariti mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Walid turut berterima kasih kepada Malaysia.

“Malaysia telah berulang kali menyatakan sokongan terhadap perjuangan Palestin malah berusaha mendesak dunia agar mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara dan menyingkirkan Israel daripada keanggotaan PBB,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!