'Waktu kerja jururawat sudah cukup'
SHAH ALAM - Kerajaan sepatutnya tidak perlu menambah sebaliknya menyemak semula atau mempertimbangkan waktu bekerja jururawat yang sedia ada dengan mengambil kira beberapa faktor antaranya kepentingan, keselamatan dan Kebajikan.
Presiden Kesatuan Jururawat Malaya (MNU), Saaidah Athman berkata, ini kerana terdapat beberapa ketidakadilan waktu bekerja jururawat antara syif dan pejabat.
Menurutnya, waktu kerja syif yang sedia ada sekarang lebih dari cukup buat jururawat dan tidak seharusnya ditambah.
"Sepanjang kami bekerja dalam waktu kerja syif, tiada diperuntukkan waktu rehat satu jam Isnin hingga Khamis dan Jumaat dua jam 30 minit seperti kakitangan yang bekerja waktu pejabat.
"MNU berharap pengurusan tertinggi atau kerajaan dapat mengeluarkan garis panduan jadual bertugas tiga syif supaya tidak timbul isu waktu kerja jururawat tidak cukup," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) digesa menyemak semula keputusan mewajibkan tambahan tiga jam waktu bekerja seminggu untuk jururawat wad mulai 1 Disember ini.
Kumpulan Hartal Doktor Kontrak (HDK) dalam kenyataan berkata, arahan baharu di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) itu bukan sahaja tidak adil malah berisiko memburukkan lagi keadaan dihadapi kakitangan kejururawatan yang menjadi tulang belakang sistem penjagaan kesihatan negara.
Bagaimanapun Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyifatkan tambahan waktu bekerja jururawat selama tiga jam di wad hospital di bawah arahan baharu SSPA sebagai munasabah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!