Penganggur ditahan rogol kekasih bawah umur
TAWAU - Seorang pengganggur ditahan selepas disyaki merogol kekasihnya yang berusia 14 tahun dalam kejadian di sebuah kawasan perumahan di sini pada Jumaat.
Suspek berusia 23 tahun ditahan kira-kira jam 1.30 tengah hari, selepas ibu mangsa membuat laporan polis pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tangkapan dibuat oleh sepasukan Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tawau.
Katanya, tangkapan dilakukan selepas mangsa memberitahu ibunya mengenai kejadian tersebut.
"Hasil siasatan awal mendapati mangsa telah tinggal serumah bersama suspek yang juga merupakan teman lelakinya sebelum melakukan perbuatan itu pada 16 November lalu.
"Suspek dibawa ke IPD Tawau dan kes disiasat di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan bagi kesalahan rogol," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Jasmin berkata, selain itu suspek juga disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana melakukan perbuatan seksual terhadap seorang kanak-kanak.
"Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan," katanya.
Ujarnya lagi, siasatan lanjut sedang dijalankan dan pihak polis mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan tidak membiarkan anak-anak tanpa pengawasan, terutamanya dengan individu yang tidak dikenali atau kurang dipercayai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!