Pengarah syarikat rugi lebih RM1 juta selepas jawab panggilan telefon

Seorang pengarah syarikat hanya mampu menggigit jari apabila mengalami kerugian berjumlah lebih RM1 juta akibat menjadi mangsa kepada penipuan phone scam baru-baru ini. (Gambar kecil: Kumar)
Seorang pengarah syarikat hanya mampu menggigit jari apabila mengalami kerugian berjumlah lebih RM1 juta akibat menjadi mangsa kepada penipuan phone scam baru-baru ini. (Gambar kecil: Kumar)
A
A
A

JOHOR BAHRU – Seorang pengarah syarikat hanya mampu menggigit jari apabila mengalami kerugian berjumlah lebih RM1 juta akibat menjadi mangsa kepada penipuan phone scam baru-baru ini.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar, wanita berusia 37 tahun itu pada mulanya telah menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang memperkenalkan diri dari sebuah syarikat penghantaran selain memaklumkan bahawa terdapat bungkusan dipercayai mengandungi buku cek dan token bank atas nama mangsa.

Bagaimanapun, setelah mangsa menafikan ada membuat permohonan, panggilan disambungkan kepada pihak polis untuk mangsa membuat laporan penafian berkenaan.

“Mangsa kemudiannya telah bercakap dengan Inspektor Harun dan diberitahu kad visa milik mangsa telah ditemui dan kad visa tersebut didapati terlibat dalam kes penipuan serta pengubahan wang haram dan seterusnya, mangsa diarahkan untuk mengeluarkan kesemua wang yang ada ke akaun lain bagi tujuan siasatan oleh pihak Bank Negara.

“Oleh kerana takut dan bimbang dikenakan tindakan undang-undang, mangsa telah membuat pindahan berjumlah RM1,140,320 kepada akaun bank yang diarahkan oleh ‘Inspektor Harun.

“Bagaimanapun, mangsa menyedari telah ditipu apabila diarahkan lagi membuat pindahan wang walaupun sejumlah wang telah dipindahkan sebelum itu dan lalu membuat laporan polis pada Jumaat,” katanya.

Kes disiasat di bawah kesalahan tipu Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebatan dan boleh dikenakan denda.

Polis menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada apabila menerima panggilan daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis mahu pun mana-mana agensi penguat kuasa dan adalah dimaklumkan bahawa pihak berkuasa sama sekali tidak akan mengarahkan wang dipindahkan ke mana-mana akaun bank atas alasan untuk tujuan siasatan.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai juga disarankan untuk lebih cakna dan mendapatkan maklumat berkaitan modus operandi jenayah komersil melalui akaun rasmi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) @CyberCrimeAlert dan @JSJK PDRM di laman Facebook, Instagram dan TikTok bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!