Wang simpanan RM260,950 lesap selepas terima panggilan 'phone scam'
KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Akibat takut ditangkap atas tuduhan jenayah, seorang warga emas dari Lipis berputih mata apabila wang simpanan berjumlah RM260,950 lesap selepas diperdaya sindiket penipuan telefon.
Kejadian bermula apabila pesara wanita berusia 61 tahun itu menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pegawai Pusat Respons Scam Nasional (NSRC) dan polis, pada 29 September lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, menerusi panggilan itu, mangsa dimaklumkan terlibat dengan aktiviti judi dalam talian dan pengubahan wang haram.
"Panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada seorang individu yang menyamar sebagai pegawai polis.
"Suspek mendakwa waran tangkap telah dikeluarkan terhadap mangsa kerana terdapat RM1.18 juta kemasukan wang ke dalam akaun banknya," katanya pada Sabtu.
Beliau berkata, suspek turut mengarahkan kad mesin juruwang automatik (ATM) beserta nombor pin diletakkan di lokasi yang diberi bagi tujuan siasatan oleh Jabatan Audit Negara.
"Tanpa berfikir panjang mangsa mengikuti arahan suspek dan mula menyedari dirinya telah ditipu setelah mendapati wang dalam akaun bank miliknya sebanyak RM260,950 telah dikeluarkan oleh suspek.
"Susulan itu, mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis," katanya.
Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan yang meragukan untuk segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan.
Tegasnya, masyarakat juga diingatkan sentiasa peka terhadap trend penipuan atas talian terkini kerana modus operandi penjenayah sentiasa berubah dan semakin canggih, terutama dengan perkembangan teknologi pada ketika ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!