Anggota polis cedera, kereta peronda dirempuh ketika mahu siasat kes kemalangan

Keadaan kereta Toyota Hilux yang terbabit dalam kemalangan di KM74.5 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur, dekat Maran pada Sabtu. Foto ihsan PDRM
Keadaan kereta Toyota Hilux yang terbabit dalam kemalangan di KM74.5 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur, dekat Maran pada Sabtu. Foto ihsan PDRM
A
A
A

MARAN - Tiga lelaki cedera termasuk dua anggota polis selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Kilometer (KM)74.5 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.25 pagi itu, kemalangan membabitkan sebuah kereta peronda polis jenis Honda City dan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, pemandu kereta, Koperal Mohd Razif Hamzah, 38 cedera parah tangan kiri manakala penumpang, Sarjan Mohd Azzuhair Hafifi Azman, 29, cedera di bahagian dada serta pemandu Toyota Hilux seorang lelaki berusia 48 tahun juga cedera di bahagian dada.

Menurutnya, siasatan awal yang dijalankan mendapati kemalangan berlaku apabila kereta yang dalam perjalanan dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD) Maran ke Jengka 19 untuk menyiasat satu kes kemalangan.

"Apabila sampai di tempat kejadian tiba-tiba datang Toyota Hilux dari arah bertentangan telah hilang kawalan dan masuk ke laluan kereta itu dan berlanggar secara depan.

"Akibat daripada kemalangan ini, semua mangsa mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Temerloh untuk rawatan lanjut," katanya.

Ujar beliau, siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!