Program 2TM: Kaunter JPJ, KPM jadi tumpuan utama

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil (kanan) ketika sidang media selepas melawat Pusat Media sempena Program Dua Tahun Kerajaan Madani (2TM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini. Foto Bernama
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil (kanan) ketika sidang media selepas melawat Pusat Media sempena Program Dua Tahun Kerajaan Madani (2TM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjadi tumpuan utama pengunjung yang hadir ke Program Dua Tahun Kerajaan Madani (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil berkata, berdasarkan data yang dilaporkan, kedua-dua kaunter itu menerima jumlah pengunjung yang sangat meriah sejak semalam.

"Berdasarkan maklum balas awal, beberapa kaunter yang paling meriah dihadiri adalah kaunter pertukaran helmet percuma dan percetakan semula Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang hilang atau gantian sijil pada kadar RM10.

"Saya juga akan buat juga sebentar lagi (cetak semula sijil) untuk kenang-kenangan. Jangan tanya saya dapat apa (keputusan),tapi harapan saya dalam berbaki dua hari ini... saya jemput semua untuk datang ke KLCC dan lihat reruai yang disediakan," katanya ketika sidang akhbar pada Sabtu.

Sepanjang tiga hari program di KLCC di sini bermula hari ini hingga Ahad, JPJ menyediakan sebanyak 5,000 unit topi keledar baharu untuk ditukarkan kepada pengunjung.

Program 2TM dengan tema ‘Madani di Hati, Rakyat Disantuni’ berlangsung bermula jam 9 pagi hingga 6 petang dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan daripada kementerian, agensi serta jabatan kerajaan kepada rakyat.

Selain itu, pelbagai aktiviti dan tawaran menarik menanti orang ramai antaranya reruai usahawan serta Jualan Rahmah Madani.

Program itu menyasarkan kehadiran lebih 200,000 pengunjung dan akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Fahmi memaklumkan, di setiap reruai kementerian juga menyediakan pelbagai maklumat dan perkhidmatan mengikut fokus masing-masing.

Ujarnya, di pihak Kementerian Komunikasi, terdapat lima syarikat komunikasi utama di buka kepada pengunjung dengan beberapa tawaran menarik.

"Kita sudah minta lima syarikat telekomunikasi utama membuka ruang masing-masing di Dewan 1 dan 2. Mereka ada tawarkan pakej khas termasuk harga peranti lebih murah.

"Orang ramai dijemput hadir untuk dapatkan pakej atau tawaran yang disediakan kepada semua," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!