China Masters: Impian final Tang Jie-Ee Wei berkecai
PERJALANAN gandingan beregu campuran nombor satu negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei di China Masters tersekat di separuh akhir pada Sabtu.
Tang Jie-Ee Wei tumpas straight set 18-21, 13-21 dalam tempoh 46 minit kepada wakil tuan rumah, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping yang juga pasangan nombor dua dunia di kejohanan berstatus Super 750 itu.
Diletakkan sebagai pilihan keempat kejohanan, Tang Jie-Ee Wei cuba memberi saingan di awal permainan, namun Yan Zhe-Dong Ping nyata lebih garang apabila memimpin permainan sehingga mendahului 6-3.
Dalam aksi di Gimnasium Shenzhen itu, pasangan negara yang mengisi ranking sembilan dunia berusaha mengutip mata demi mata sehingga mendahului 15-14.
Namun, ketenangan Yan Zhe-Dong Ping yang mendapat sokongan padu penyokong sendiri berjaya mengejar mata sekali gus memenangi set pertama.
Di set kedua menampilkan skrip berbeza apabila Tang Jie-Ee Wei mengutip dua mata awal dan berjaya mendahului wakil tuan rumah itu 9-7.
Namun, Yan Zhe-Dong Ping membuktikan mereka berada di kelas berbeza, selain faktor kepenatan menjadi punca Tang Jie-Ee wei terus ketinggalan sebelum tewas 13-21.
Pada Jumaat, Tang Jie-Ee Wei menampilkan kebangkitan luar biasa dalam perlawanan penuh dramatik menewaskan gandingan China, Guo Xin Wa-Cheng Fang Hui di suku akhir.
Selepas tewas di set pertama 14-21, perjalanan Tang Jie-Ee Wei dilihat bakal berakhir apabila ketinggalan 12-20 di set kedua.
Namun mereka mula 'mengganas' meraih mata demi mata untuk mengikat kedudukan 20-20 sebelum menang 23-21 untuk membawa permainan di set penentuan.
Kemenangan penuh dramatik itu menyuntik semangat Tang Jie-Ee Wei untuk tampil penuh bertenaga di set ketiga apabila menang 21-16 seterusnya mengesah tempat ke separuh akhir.
Mengiringi Tang Jie-Ee Wei ke separuh akhir adalah satu lagi beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin.
Mereka berdepan pilihan ketiga dari Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!