KPDN serbu pasar raya, restoran kes tular warga asing beli minyak peket
SUNGAI BULOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu sebuah pasar raya dan restoran nasi kandar di sini pada Jumaat, susulan kes tular pekerja asing membeli minyak masak peket.
Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, pemeriksaan dilakukan pihaknya yang berpakaian preman bagi membuat penyamaran di dua premis terbabit yang terletak berdekatan.
Menurutnya, anggota KPDN Selangor menyoal siasat pengurus pasar raya terbabit dan mengesahkan wujud rekod pembelian oleh tiga pekerja restoran nasi kandar berkenaan.
"Pembelian dibuat secara perseorangan dengan masing-masing mengambil dua minyak masak peket sahaja iaitu masih dalam had pembelian yang dibenarkan dan dipercayai untuk kegunaan sendiri.
"Serbuan di premis nasi kandar pula mendapati pihak premis tidak menggunakan minyak masak peket 1 kilogram (kg) selepas pemeriksaan lanjut menjumpai bekalan minyak masak botol 5 kg sahaja di bahagian penyimpanan stok dan dapur," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, penggeledahan di dalam dan luar premis juga tidak menjumpai sebarang stok minyak masak peket dan juga plastik pembungkus minyak masak.
Tambahnya, pemilik restoran iaitu lelaki tempatan berusia 40-an telah direkod percakapan selain premis mempunyai lesen perniagaan yang sah dan beroperasi sejak empat bulan lepas.
"Keterangan pemilik restoran itu juga direkod bersama seorang pekerja restoran yang tular iaitu warga Bangladesh dan memiliki pasport sah.
"Keterangan pekerja itu mengakui membelinya untuk kegunaan sendiri di rumah sewa," ujarnya.
Tambah beliau, pemilik restoran telah diberikan advokasi agar mematuhi perundangan yang sedang berkuat kuasa di bawah KPDN.
"KPDN Selangor akan konsisten membuat pemantauan ke atas kedua-dua premis yang tular ini atas keperluan mencegah wujud ruang dan peluang urus niaga di antara pasar raya dengan restoran tersebut yang membawa kepada ketidakpatuhan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 melibatkan barang kawalan berjadual," katanya.
Tegasnya, orang awam dialu-alukan menyalurkan maklumat berhubung aktiviti atau perlakuan manipulasi dan urus niaga tidak beretika melibatkan barangan kawalan bersubsidi yang merupakan kepentingan awam dalam negara.
Sebelum ini tular satu rakam video berdurasi 13 saat di media sosial memaparkan tiga lelaki warga asing yang keluar dari sebuah pasar raya dengan membawa peket minyak masak hingga mencetuskan spekulasi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!