Sampai bila kami nak hadap jalan 'puaka' ini?

Lebih 50 orang penduduk berkumpul mengadakan flashmob di Jalan Tok Kangar bagi mendesak kerajaan negeri menyelesaikan segera semua permasalahan yang berlaku hingga menyebabkan kerja-kerja pelebaran laluan berkenaan tertangguh lama.
Lebih 50 orang penduduk berkumpul mengadakan flashmob di Jalan Tok Kangar bagi mendesak kerajaan negeri menyelesaikan segera semua permasalahan yang berlaku hingga menyebabkan kerja-kerja pelebaran laluan berkenaan tertangguh lama.
A
A
A

JURU - Penduduk di sekitar kawasan Juru menuntut penjelasan dan tindakan segera kerajaan dalam menangani isu kesesakan trafik serta jalan rosak di Jalan Tok Kangar di sini selepas ia didakwa berlarutan lebih lapan tahun lalu.

Masalah yang berlaku bukan sahaja mengakibatkan mereka terperangkap dalam kesesakan yang panjang terutamanya pada waktu puncak malah keadaan lebih teruk lagi apabila kawasan itu dikatakan sering berlaku banjir kilat.

Satu memorandum turut diserahkan kepada Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusof untuk membangkitkan isu berkenaan dalam Sidang DUN minggu depan.
Satu memorandum turut diserahkan kepada Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusof untuk membangkitkan isu berkenaan dalam Sidang DUN minggu depan.

Tinjauan Sinar Harian pada Sabtu mendapati rata-rata pengguna laluan itu melahirkan rasa kecewa dengan masalah yang sekian lama dihadapi selain bimbang dengan keselamatan ketika menggunakan jalan terbabit.

Penduduk, Nur Syuhada Mat Salleh, 33, berkata, dia nyaris melahirkan anak sulungnya di dalam kereta selepas terperangkap dalam kesesakan di jalan utama itu.

Menurutnya, kesesakan aliran trafik sudah menjadi pemandangan biasa buat penduduk di sini pada waktu pagi dan petang namun sehingga kini perkara itu gagal ditangani oleh pihak bertanggungjawab.

Masalah kesesakan di Jalan Tok Kangar sudah berlarutan hampir lapan tahun.
Masalah kesesakan di Jalan Tok Kangar sudah berlarutan hampir lapan tahun.

"Masalah di Jalan Tok Kangar di sini bukan perkara baharu dan mustahil tidak diketahui oleh pihak kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Sampai bila kami nak hadap kesesakan dan jalan rosak di sini setiap hari? Jalan Tok Kangar ini laluan utama terutama mereka yang bekerja kilang di kawasan berhampiran.

"Cuba bayangkan jumlah kenderaan yang menggunakan jalan ini termasuk bas kilang serta kenderaan berat setiap hari, sudahlah laluan ini sempit malah permukaan jalan pula menakutkan terutamanya buat penunggang motosikal," katanya.

Pemandu lori yang hanya mahu dikenali sebagai Azlan mendakwa, kegagalan kontraktor menyelenggara dan membuat kawalan lalu lintas di laluan itu menyebabkan banyak kejadian kemalangan berlaku sebelum ini hingga menyebabkan maut.

Azlan
Azlan

Katanya, laluan berkenaan digelar sebagai jalan 'puaka' kerana keadaan yang rosak dan berlubang mengakibatkan banyak kenderaan mengalami kerosakan terutamanya pada bahagian rim aloi (sport rim) tayar dan bumper kereta.

"Disebabkan tak dapat mengelak jalan rosak menyebabkan pemilik kenderaan terpaksa menanggung rugi. Nak tunggu berapa ramai lagi mati di sini baharu kerajaan nak pandang serius dengan masalah ini?

"Masalah ini bukan terjadi sejak tiga bulan atau setahun yang lalu, tetapi sudah hampir lapan tahun berlarutan. Sebagai pembayar cukai dan penduduk tempatan yang mencari rezeki di kawasan ini kami sepatutnya layak menikmati jalan yang sempurna," katanya.

Sementara itu pada petang Jumaat, lebih 50 orang penduduk berkumpul mengadakan flashmob di Jalan Tok Kangar bagi mendesak kerajaan negeri menyelesaikan segera semua permasalahan yang berlaku hingga menyebabkan kerja-kerja pelebaran laluan berkenaan tertangguh lama.

Jalan Tok Kangar menjadi laluan utama bas kilang dan kenderaan berat setiap hari.
Jalan Tok Kangar menjadi laluan utama bas kilang dan kenderaan berat setiap hari.

Mereka juga menuntut agar kerajaan negeri bertanggungjawab dengan memberikan pampasan kepada semua mangsa kemalangan terutamanya yang maut disebabkan insiden ketika menggunakan laluan berkenaan.

Satu memorandum turut diserahkan kepada Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusof untuk membangkitkan isu berkenaan dalam Sidang DUN yang akan diadakan minggu depan.

PDC jamin tindakan segera tangani isu Jalan Tok Kangar

Dalam pada itu, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) menyatakan komitmen untuk memastikan tindakan segera dapat diambil bagi setiap aduan yang diterima berhubung isu projek pelebaran Jalan Tok Kangar, di sini.

Menerusi kenyataan media Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) memaklumkan, PDC ketika ini dalam proses untuk menamatkan kontrak projek berkenaan dan akan melantik kontraktor penyiap bagi menyiapkan baki kerja-kerja pembinaan di tapak.

Ia berikutan kontraktor yang terlibat dengan projek pelebaran fasa dua telah kemukakan notis pada 24 Jun 2024 dan memohon untuk membuat penamatan kontrak secara bersama.

"Tindakan selanjutnya akan diambil selepas notis penamatan dikeluarkan adalah kontraktor penyelenggaraan yang dilantik PDC akan mengamb ilalih untuk menyelenggara jalan tersebut sementara menunggu kontraktor penyiap memulakan kerja.

"PDC akan mengambil tindakan lebih proaktif untuk memastikan projek ini dapat disiapkan mengikut jadual baharu demi keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya," menurut kenyataan itu pada Sabtu.

Fasa satu projek pelebaran Jalan Tok Kangar melibatkan pembinaan struktur jambatan baru sepanjang 275 meter.

Difahamkan, kerja-kerja bagi fasa satu telah dimulakan pada 18 Januari 2016 dan telah disiapkan pada 12 Disember 2018.

Manakala bagi projek fasa dua pula ia melibatkan kerja-kerja pelebaran jalan dan menaik taraf jalan sedia ada dari persimpangan lampu isyarat Auto City (Jalan Perusahaan/Jalan Kebun Nenas) ke persimpangan Taman Seri Delima/Taman Delima Jati.

Sementara itu, MBSP memaklumkan, bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di Jalan Tok Kangar semasa pembinaan, pelan pengurusan trafik disediakan oleh kontraktor baharu yang akan dilantik PDC akan dirujuk dan digunapakai.

Jelasnya, PDC komited untuk memastikan pelan itu dirancang dengan teliti bagi meminimumkan gangguan kepada pengguna jalan raya serta memastikan keselamatan semua pihak sepanjang tempoh pembinaan berlangsung.

"Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Lalulintas dan Infrastruktur, Ahli Majlis MBSP telah membangkitkan kebimbangan mengenai kelewatan projek ini dan menegaskan perlunya pemantauan yang lebih ketat.

"Mesyuarat bersetuju supaya pihak PDC memberikan laporan status semasa projek pada setiap mesyuarat akan datang bagi memastikan MBSP mempunyai maklumat terkini untuk dimaklumkan kepada orang awam," katanya.

Bekas Ahli Majlis MBSP pertikai jaminan PDC untuk siapkan Jalan Tok Kangar

Sementara itu, bekas Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), David Marshel kesal dengan isu projek pelebaran Jalan Tok Kangar yang sehingga kini masih tergendala meskipun berlarutan bertahun lamanya.

Beliau berkata, sebelum ini Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) memberi jaminan projek itu akan disiapkan dalam masa terdekat setiap kali perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Lalu Lintas.

Bagaimanapun David berkata, kini PDC memberi alasan akan melantik kontraktor baharu untuk menguruskan projek terbabit.

"Saya hairan bila masa MBSP menjadi jurucakap kepada PDC? Adakah PDC sudah menjadi satu jabatan di bawah MBSP?

"Sepatutnya MBSP perlu menasihati kerajaan negeri untuk melantik Jabatan Kerja Raya (JKR) menggantikan PDC sebagai pelaksana projek ini dan bukannya bergantung kepada janji-janji PDC yang jelas tidak pernah ditepati selama ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Sabtu.

Beliau berkata, ramai penduduk di kawasan Juru dan pengguna Jalan Tok Kangar telah datang mengadu kepadanya tentang keadaan jalan yang sangat tidak memuaskan.

Katanya, sekurang-kurangnya empat nyawa terkorban dalam kemalangan di laluan berkenaan termasuk beberapa pengguna lain yang mengalami cedera parah sebelum ini.

"Banyak juga kenderaan rosak akibat keadaan jalan ini.

"Jika MBSP mahu tanggung beban PDC yang jelas gagal laksanakan projek ini, adakah pihak MBSP juga akan bertanggungjawab terhadap kematian, kecederaan dan kerosakan yang timbul daripada kemalangan di atas Jalan Tok Kangar ini," katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!