Penternak resah haiwan ternakan diserang anjing liar
KOTA BHARU - Penternak di lebih lima kampung di Bachok resah apabila ternakan mereka diserang anjing liar yang berkeliaran di kawasan penempatan itu.
Antara kampung terlibat ialah Kampung Seneng, Kampung Gelung Badak, Kampung Alur Ganung, Kampung Beris Lalang dan Kampung Baru.
Mereka mendakwa, kejadian berlaku lebih lima tahun lalu namun kini semakin serius apabila anjing berkenaan semakin banyak dan menyerang ternakan pada waktu malam.
Penternak ayam kampung dari Kampung Gelung Badak, Nik Mohd Haikal Raja Dollah, 24, berkata, banyak ternakan ayam kampungnya mati sejak lapan bulan lalu mengakibatkan kerugian lebih RM5,000.
Nik Mohd Haikal mendakwa, pernah melihat antara 20 hingga 30 kawanan anjing yang menyerang haiwan ternakannya.
"Sehingga kini sudah puluhan ayam kampung saya dimakan anjing liar. Ramai penduduk mengadu biri-biri, kambing dan ayam mereka turut menjadi mangsa," katanya ketika ditemui selepas menyertai piket aman di Kampung Beris Lalang pada Sabtu.
Tambahnya, kawanan anjing itu dilihat banyak berkeliaran di tapak pelupusan sampah kira-kira dua kilometer dari kediaman penduduk kampung.
"Haiwan itu mungkin kelaparan kerana tiada makanan di situ dan keluar menyerang ternakan kami walaupun berada dalam sangkar," katanya.
Suhaimi Raja Dollah, 41, mendakwa serangan serius anjing dalam kawasan ternakannya bermula awal tahun ini.
Menurutnnya, anjing liar itu tidak muncul pada waktu siang dan hanya menyerang antara jam 3 hingga 4 pagi mengakibatkan banyak ternakan terutama ayamnya mati.
"Saya mengambil tindakan awal membuat pagar menggunakan jaring selepas dua ekor biri-biri saya mati dimakan haiwan itu," katanya.
Sementara itu, penternak lembu dan kambing di Kampung Gong Nibong, Rohana Arifin, 52, berkata, sehingga kini sebanyak tiga ekor anak lembunya mati diserang anjing.
Rohana yang juga mempunyai lebih 40 ekor kambing mendakwa masalah dialami sejak lebih lima tahun lalu kini semakin berleluasa dan lebih membimbangkan serangan semakin kerap berlaku.
"Saya pernah melihat sendiri ada pihak yang melepaskan anjing di sini mengakibatkan haiwan ternakan kami menjadi mangsa," katanya.
Jelasnya lagi, sejak serangan itu dia tidak lagi melepaskan ternakan termasuk kambing dan sentiasa memastikannya berada dalam kandang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!