'Netanyahu patut ditangkap dan dihukum gantung' - Tun M

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tindakan waran tangkap dikeluarkan terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant atas dakwaan jenayah perang adalah wajar berikutan pembunuhan secara berterusan dilakukan oleh rejim Zionis berkenaan.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan Netanyahu dan Gallant merupakan penjenayah besar yang sepatutnya dihukum gantung oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) susulan jenayah perang dilakukan terhadap penduduk di Palestin.

"Ya, sepatutnya (dikenakan waran tangkap). Ini adalah jenayah perang. Dia (Netanyahu dan Gallant) seorang penjenayah dan dia nak teruskan pembunuhan manusia.

"Pembunuhan satu orang pun dah merupakan jenayah. Dia pula membunuh seramai 44,000 orang Palestin maka dia penjenayah besar yang sepatutnya dihukum gantung," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada program Terengganu International Summit (TIS) 2024 di Duyong Marina Resort di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Dr Mahathir (tengah) selepas selepas menyampaikan ucaptama pada program Terengganu International Summit (TIS) 202
Dr Mahathir (tengah) selepas selepas menyampaikan ucaptama pada program Terengganu International Summit (TIS) 202

Ketika ditanya mengenai tindakan Amerika Syarikat menolak keputusan ICC untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu dan Gallant, Dr Mahathir menyatakan negara tersebut dikuasai oleh Israel.

Artikel Berkaitan:

"Dasar mereka (Amerika Syarikat) ialah menjadi 'pak turut' pada Israel walaupun mereka tahu apa yang dilakukan Israel itu adalah satu jenayah besar dan genosid.

"Tetapi Amerika Syarikat masih lagi menyokong Israel dengan mengenakan veto terhadap segala usaha untuk hentikan peperangan," ujarnya.

Justeru, Dr Mahathir menyeru kepada umat Islam di seluruh dunia supaya bersatu bagi memastikan kedua pemimpin rejim Zionis tersebut dapat ditangkap sekali gus dikenakan tindakan undang-undang atas jenayah dilakukan.

"Disebabkan kita berpecah dan lawan sesama sendiri, kita jadi lemah dan tak mampu menyelamatkan orang Islam.

"Jika umat Islam bersatu maka kita boleh tangkap (Netanyahu dan Gallant). Umat Islam ramai dan kalau kita bersatu, kita jadi kuat," jelas beliau.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, pihaknya mengalu-alukan keputusan ICC mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu dan Gallant atas dakwaan jenayah perang di Gaza.

"Itu satu keputusan yang diterima masyarakat antarabangsa namun sebaliknya berlaku apabila Amerika Syarikat mengunakan kuasa veto.

"Amerika Syarikat ini luar kemanusiaan. Dipengaruh oleh Zionis dan siapa nak menang Presiden Amerika mesti paling kuat sokong Zionis barulah menang presiden," katanya.

Dalam keputusan bersejarah, ICC pada Khamis mengumumkan bahawa waran tangkap telah dikeluarkan terhadap Netanyahu dan Gallant atas tuduhan jenayah perang yang didakwa dilakukan mereka di wilayah Palestin, termasuk Gaza.

Waran tangkap itu dikeluarkan ketika serangan genosid Israel ke atas Gaza baru-baru ini memasuki tahun kedua, dengan jumlah kematian rakyat Palestin menjangkau kira-kira 44,000, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak serta mencederakan lebih 103,000 yang lain.

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan ICC mengeluarkan waran tangkap terhadap dua individu itu juga secara tidak langsung mengesahkan kejadian keganasan dan penindasan yang berlaku terhadap Palestin dan rakyatnya.

Selain itu, media antarabangsa melaporkan White House menolak keputusan ICC untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu dan Gallant atas dakwaan jenayah kemanusiaan dan perang di Gaza.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!