Gerakan koperasi sekolah Malaysia jadi rujukan di peringkat antarabangsa

Abdul Fattah (tengah) diiringi Hamizan (kiri) menyantuni pelajar sempena majlis tersebut di SMK Padang Tengku di Lipis pada Sabtu.
Abdul Fattah (tengah) diiringi Hamizan (kiri) menyantuni pelajar sempena majlis tersebut di SMK Padang Tengku di Lipis pada Sabtu.
A
A
A

LIPIS - Gerakan koperasi sekolah di Malaysia terus menjadi rujukan di peringkat antarabangsa berikutan keberkesanan dan kejayaan sektor tersebut bagi melahirkan pelapis dalam dunia keusahawanan.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, setakat ini beberapa buah negara ASEAN iaitu Kemboja dan Filipina sudah menggunakan gerakan koperasi ala Malaysia.

Menurutnya, negara lain seperti di benua Eropah juga sudah mula menuju ke arah tersebut kerana melihat keberkesanan gerakan koperasi di peringkat sekolah.

"Ini dapat dilihat di Global Conference of the International Cooperative Alliance (ICA) 2024 yang berlangsung di New Delhi, India bermula Isnin ini, antara isu dibangkitkan, Malaysia diminta membentangkan kertas kerja bagaimana sekolah di Malaysia menguruskan koperasi sekolah.

"Selain itu, kertas kerja terbabit akan membentangkan bagaimana gerakan koperasi sekolah memberikan manfaat ekonomi kepada sekolah serta strategi melahirkan koperator muda pada masa akan datang," katanya.

Hamizan (dua dari kiri) menyerahkan cenderamata kepada Abdul Fattah (tiga dari kiri).
Hamizan (dua dari kiri) menyerahkan cenderamata kepada Abdul Fattah (tiga dari kiri).

Beliau ditemui selepas Majlis Graduasi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kali-17 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Tengku di sini pada Sabtu.

Hadir sama, pengetua sekolah tersebut, Hamizan Abdul Hamid.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga diseru untuk membantu penglibatan anak-anak dalam gerakan koperasi sekolah.

"Terdapat 2,499 PIBG sekolah menengah di seluruh negara setakat ini dan kita menyeru menyokong dengan menggalakkan penambahan saham anak-anak mereka sebagai ahli koperasi.

"Ibu bapa perlu memberikan galakan serta modal kerana sekolah menjadi platform terbaik dalam menyemai dunia keusahawanan selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030," tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!