Pengarah syarikat terlibat projek terbengkalai disenarai hitam

Borhan (tengah) bergambar bersama barisan pemenang Hari Anugerah Laman Hijau Strata Selangor 2024 pada Sabtu.
Borhan (tengah) bergambar bersama barisan pemenang Hari Anugerah Laman Hijau Strata Selangor 2024 pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri mengambil langkah menyenarai hitam pengarah syarikat yang terlibat dengan projek rumah terbengkalai di Selangor.

Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata, langkah itu susulan terdapat antara mereka menubuhkan syarikat baharu selepas syarikat lama bermasalah.

Menurutnya, individu disenarai hitam itu tidak akan dibenarkan menjalankan projek pembangunan di Selangor.

"Senarai hitam terhadap pengarah bermasalah ini kerana ada antaranya membuat syarikat lain. Dia dah datangkan masalah syarikat lama, kemudian buka syarikat baharu.

"Saya tak nak sebut syarikat tersebut, ia menjadi masalah apabila buka syarikat lain tapi pengarah orang yang sama.

"Jadi kita tidak akan tengok kepada nama syarikat tetapi kita akan lihat pengarah dan juga ahli lembaga pengarahnya," katanya mengulas langkah kerajaan negeri mengatasi isu projek terbengkalai di Selangor.

Borhan (enam dari kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang Anugerah Laman Hijau Strata Selangor 2024 pada Sabtu.
Borhan (enam dari kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang Anugerah Laman Hijau Strata Selangor 2024 pada Sabtu.

Beliau ditemui pada Majlis Anugerah Laman Hijau Strata Selangor 2024 di Pusat Konvensyen Midlands di sini pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Borhan bagaimanapun memaklumkan, jumlah pengarah bermasalah itu tidak ramai.

Beliau berharap langkah kawalan dilakukan itu dapat menyelesaikan isu projek bermasalah dan pada masa sama memastikan perjalanan serta program perumahan di Selangor lebih selesa dan lancar.

"Kerajaan negeri menegaskan tidak halang atau memihak kepada mana-mana pemaju sebaliknya mengambil pendekatan situasi menang-menang.

"Setiap dasar dibuat, kita akan duduk dengan pemaju, diadakan bengkel bagi mendapatkan maklum balas dan setakat ini mereka bersetuju dengan dasar dan syarat dilaksanakan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!