Video lelaki menyerupai wanita didakwa memalukan bola sepak Kedah

Tangkap layar video lelaki menyerupai wanita yang tular pada Jumaat.
Tangkap layar video lelaki menyerupai wanita yang tular pada Jumaat.
A
A
A

ALOR SETAR - Kedah Darul Aman (KDA) FC perlu memberikan penjelasan berhubung video promosi yang memaparkan pempengaruh seorang lelaki menyerupai wanita dalam kempen menarik penyokong hadir ke Stadium Darul Aman yang tular pada Jumaat.

Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Kuala Kedah, Fadli Hussin menyifatkan video tersebut telah memalukan sukan bola sepak di negeri ini.

Menurutnya, tindakan tersebut tidak kena dengan gaya dan pada waktu yang sama dianggap satu penghinaan terhadap wanita di Kedah.

Fadli Hussin
Fadli Hussin

“Kandungan video ini sangat tidak bersesuaian dengan penggunaan bahasa, gaya penyampaian atau bahan promosi yang kurang sopan, sensitif dan bertentangan dengan nilai budaya di Kedah serta penerimaan peminat bola sepak tempatan.

“Bola sepak adalah sukan sihat yang bermanfaat, jangan tunjukkan keburukan yang boleh menjadi ikutan masyarakat terutamanya kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Jelasnya, kekhuatiran di pihak mereka tentang reputasi dan imej profesional pasukan sangat mempengaruhi keyakinan penaja dan pelabur.

“Kita sebagai peminat setia bola sepak negeri Kedah mohon penjelasan daripada KDA FC tentang isu ini yang menjejaskan nama baik pasukan dan pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Pada Jumaat, KDA FC memuat naik video berkenaan namun dipadam selepas hanya beberapa minit setelah pengguna media sosial mempersoalkan pendirian pengurusan kelab menggunakan pempengaruh lelaki berperwatakan perempuan.

Video berdurasi lebih dua minit itu memaparkan seorang lelaki berwatak lembut yang menyerupai seorang wanita membincangkan program anjuran KDA FC tersebut bersama tiga lagi lelaki dipercayai staf pasukan.

Walaupun sudah dipadam di akaun Facebook rasmi KDA FC, namun video berkenaan sempat dimuat turun sebahagian penyokong dan kini mula menjadi pertikaian dan persoalan dalam kalangan mereka terhadap pendirian KDA FC yang merupakan gergasi bola sepak tanah air sebelum ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!