Dua sungai utama di Kelantan paras amaran, berjaga-jaga
KOTA BHARU - Dua sungai utama di Kelantan iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang dan Sungai Melor di Jambatan Sungai Melor kini masing-masing berada pada paras amaran dan berjaga-jaga.
Portal Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada jam 2 petang memaklumkan Sungai Golok di Rantau Panjang mencatatkan bacaan 8.69 meter (m) dan Sungai Melor pula 7.65m.
Sementara itu, jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini masih kekal satu sahaja sejak semalam (Jumaat) iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan Beris Panchor yang menempatkan 40 mangsa membabitkan 11 keluarga.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Mohd Adzhar Mujab berkata, jumlah berkenaan tidak berubah sehingga jam 2 petang Sabtu.
"Kesemua mereka masih berlindung di PPS ini dan akan dibenarkan pulang jika cuaca berada dalam keadaan baik dan air surut," katanya.
PPS itu turut menerima lawatan Pegawai Bersekutu APM Kota Bharu, Mejar Bersekutu (PA) MD Apandi Jusoh.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan berlaku hujan menyeluruh pada pagi, petang dan malam bermula Sabtu hingga 29 November depan.
MetMalaysia turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah dan Bachok.
Turut disenaraikan ialah Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!