[VIDEO] 'Bila tak ambil gaji, kena sindir' - Anwar
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyindir sesetengah pihak yang sering mempertikai pendiriannya tidak mengambil gaji.
Beliau berkata, situasi tersebut agak aneh kerana sementara gaji penjawat awam meningkat, gaji menteri sebaliknya dan masih mengekalkan potongan 20 peratus.
“Sementara gaji penjawat awam naik, gaji menteri tak naik. Bila saya kata saya tak ambil gaji, kena sindir.
“Jadi, saya fikir mungkin tahun depan kena ambillah (gaji). Aneh tak (dalam nada seloroh), kita gaji tak ambil, tetapi elaun Parlimen ambil.
“Azizah (isteri) pun ada elaun Parlimen, campur-campur okaylah. Saya bukan miskin. Tetapi ini jadi bahan remeh pula, demikianlah politik picisan yang ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi Town Hall program Dua Tahun Kerajaan Madani (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini pada Sabtu.
Anwar yang juga ahli Parlimen Tambun menjelaskan, pengkritik sepatutnya memberikan cadangan bernas dan membina tentang dasar kerajaan agar rakyat boleh menilai dengan baik.
Tambah beliau, media sosial boleh dijadikan platform melontarkan pandangan, tetapi bukan kritikan melampau.
“Beri cadangan, ini tidak ada cadangan. Yang ada hanya maki hamun. Jadi, ini menghasut sebahagian rakyat.
“Sebab itu saya kata, kalau mahu Madani yang berjaya, pencerahan mesti ada dan rakyat boleh dengar semua pandangan, tetapi perlu ada asas ilmu untuk menilai.
“Kalau dengar satu pihak sahaja, ia akan merosakkan (pemikiran),“ ujar Anwar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!