PKNS bakal lancar 12 projek perumahan bernilai RM1.7 bilion tahun depan
CYBERJAYA - Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) merancang untuk melancarkan sebanyak 12 projek perumahan yang keseluruhannya dianggarkan bernilai antara RM1.5 bilion hingga RM1.7 bilion pada tahun hadapan bagi memenuhi keperluan rakyat.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata, PKNS juga akan memberi tumpuan terhadap projek pembangunan perumahan di Cyberjaya pada masa akan datang.
"Pada 50 atau 60 tahun dahulu PKNS dikenali sebagai pemaju projek perumahan bagi rumah flat (rumah kos rendah).
"Tetapi sekarang kami turut masuk ke segmen perumahan berbeza iaitu bangunkan projek perumahan mewah dan pertengahan sebab industri ini sangat kompetitif," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Pilih Karnival PKNS di Selangor Cyber Valley (SCV) dan pembukaan rasmi Galeri Jualan SCV pada Sabtu.
Pilih Karnival PKNS di SCV yang berlangsung selama dua hari dan akan berakhir pada Ahad menjadi penutup tirai siri kempen tersebut selepas lima bulan diadakan di beberapa pusat perbandaran PKNS sekitar Selangor.
Mahmud berkata, Pilih Karnival merupakan inisiatif kempen gaya hidup oleh PKNS Homes pada tahun ini yang menjadi platform kepada PKNS untuk mendekati komuniti setempat sambil mempromosikan produk perumahan mereka kepada masyarakat umum.
Katanya, program berkonsep karnival tersebut berjaya mencapai objektif apabila setiap siri jelajah yang diadakan di Shah Alam, Kota Puteri dan Antara Gapi sebelum ini mendapat sambutan memberangsangkan serta dianggarkan berjaya menarik kehadiran lebih 10,000 pengunjung.
"Sempena program di SCV ini, kita ketengahkan tiga produk perumahan kepada komuniti Cyberjaya iaitu apartmen yang harganya antara RM300,000 ke RM400,000, 'townhouse' Aludra dan rumah teres dua tingkat Adhara.
"Galeri jualan di sini pula mempamerkan model produk perumahan yang kami bangunkan dan kami turut tempatkan galeri ini dengan pasukan projek pembangunan serta pasukan pemasaran kami supaya mudah untuk mengetahui kemahuan pembeli," ujarnya.
Sempena siri akhir kanvival terbabit yang dimeriahkan dengan pelbagai pertandingan dan aktiviti menyeronokkan seperti 'street soccer', zoo mini, 'Family Feud' dan saringan kesihatan percuma, pengunjung bertuah berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik dengan nilai keseluruhan RM15,000 antaranya motosikal, basikal dan skuter elektrik.
Pengunjung turut berpeluang memenangi sebuah Perodua Bezza menerusi kempen PKNS 60th Anniversary Giveaway apabila membeli mana-mana koleksi PKNS Homes iaitu projek Pangsapuri Intana Ria 3 di Bandar Baru Bangi, Aludra di SCV, Ashara di SCV dan Puteri Ariana di Kota Puteri dari 15 Oktober hingga 31 Disember 2024.
Orang ramai boleh melayari laman sesawang www.pkns.gov.my untuk mendapatkan info lebih lanjut mengenai projek-projek hartanah PKNS.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!