Hanya 0.1 peratus projek Rumah Selangorku bermasalah

Lebih 270 projek Rumah Selangorku telah dilaksanakan dan hanya dua daripadanya termasuk di Sentoria Morib terbengkalai - Gambar hiasan 123RF, gambar kecil: Borhan
Lebih 270 projek Rumah Selangorku telah dilaksanakan dan hanya dua daripadanya termasuk di Sentoria Morib terbengkalai - Gambar hiasan 123RF, gambar kecil: Borhan
A
A
A

SHAH ALAM - Lebih 270 projek Rumah Selangorku telah dilaksanakan dan hanya dua daripadanya termasuk di Sentoria Morib terbengkalai.

Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata, ini bermaksud hanya 0.1 peratus projek bermasalah.

Bagaimanapun Borhan berkata, kerajaan negeri tidak lepas tangan dan mengambil langkah perlu bagi memastikan projek itu dapat diselesaikan.

"Pemaju sedia ada tiada kekuatan kewangan untuk meneruskan projek itu, namun kita tak boleh nak masukkan ia sebagai projek terbengkalai melainkan mendapat laporan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

"Disebabkan itu, ia masih dalam projek sakit dan pemaju telah dikenal pasti untuk perbincangan penyelesaian," katanya bagi mengulas status Projek Rumah Selangorku di Sentoria Morib.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Anugerah Laman Hijau Strata Selangor 2024 di Pusat Konvensyen Midlands di sini pada Sabtu.

Media sebelum ini melaporkan masalah dihadapi 500 pembeli Rumah Selangorku Sentoria Morib selepas projek gagal disiapkan masuk tahun keempat.

Mengulas lanjut, beliau berpandangan projek tersebut mampu diteruskan dan disiapkan apabila terdapat syarikat lain yang bersedia menyalurkan bantuan.

Artikel Berkaitan:

"Ada syarikat yang sanggup membantu tapi prosesnya haruslah mengikut syarat ditetapkan. Saya bercadang membawa pemilik tanah, syarikat serta wakil penduduk selain agensi berkaitan duduk semeja mencari jalan penyelesaian.

"Ini kerana baki projek bagi rumah teres yang belum disiapkan hanya tinggal beberapa peratus sahaja lagi, cuma yang banyak masalah di pangsapuri Selangorku," katanya.

Tambah beliau, Rumah Selangorku bukan dibina oleh kerajaan negeri sebaliknya oleh pemaju.

"Ramai ingat Rumah Selangorku dibina oleh kerajaan, itu tidak betul sebaliknya ia merupakan 'branding' dan dibangunkan oleh pemaju.

"Ada beranggapan kerajaan negeri gagal membina rumah sedangkan ia di bawah projek pemaju. Bagaimanapun, kerajaan tidak lepas tangan akan terus bantu selesaikan masalah," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!