Kestabilan politik, dasar jelas faktor kejayaan Kerajaan Madani - PM
KUALA LUMPUR - Kejayaan Kerajaan Madani memimpin negara sepanjang dua tahun adalah hasil kestabilan politik, dasar jelas dan komitmen perkhidmatan awam yang ditonjolkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia dibuktikan apabila rakyat lebih-lebih lagi penjawat awam yang mulai menunjukkan kesediaan dan kebersamaan dalam melonjakkan nama negara ke persada dunia.
Menurut beliau, barisan menteri juga antara penyumbang utama negara berada di landasan betul disebabkan sumbangan dan khidmatnya yang terbaik.
“Satu kenyataan perlu diingat (kejayaan), ini dimungkinkan kerana sistem politik yang stabil. Kestabilan itu berkat kerjasama pimpinan negara.
“Sekiranya ditelusuri program Kerajaan Madani, anjakan dan keberkesanan pelaksanaannya adalah kerana komitmen serta iltizam barisan penjawat awam yang menunjukkan kesediaan terhadap perubahan.
“Pelaksanaan juga jauh lebih cekap sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi Town Hall program Dua Tahun Kerajaan Madani (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, barisan menteri, jabatan sektor awam serta agensi swasta.
Anwar memaklumkan, Kerajaan Madani perlu diberikan ruang untuk mengangkat martabat Malaysia agar lebih dikenali sebagai negara yang gagah dan hebat di mata dunia.
Tambahnya, beliau yakin dengan kepimpinan sedia ada dan kemampuan penjawat awam serta swasta untuk memacu negara ke arah kecemerlangan di samping membersihkan amalan rasuah.
“Kerajaan Madani takkan membenarkan sebarang penyelewengan dan salah guna kuasa sewaktu mengemudi negara ini.
“Sebab itulah pemahaman itu perlu, dengar dan teliti. Jangan permainkan isu yang boleh merosakkan (pemikiran). Kalau ada kelemahan, kita terima dan baiki kelemahan,” ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!