Keterbukaan PM bukti kerajaan kini lebih telus
SHAH ALAM - Keterbukaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kos penerbangan delegasi ke luar negara membuktikan kerajaan kini lebih telus.
Ahli Jawatankuasa (AJK) Rasuah Busters Selangor, Zairudin Hashim berkata, ini kerana perkara tersebut tidak pernah didedahkan oleh pentadbiran sebelumnya walaupun amalan sama digunakan iaitu berkongsi kos pergerakan syarikat korporat.
Menurutnya, sejak pentadbiran terdahulu sudah menjadi amalan pihak yang memohon untuk turut serta dalam delegasi perlu membayar caj bagi setiap tempat duduk mereka.
"Kita dapat lihat bagaimana lawatan yang dibuat oleh delegasi kerajaan ke luar negara sebelum ini, mana-mana syarikat korporat yang turut serta memang perlu turut sama menanggung kos.
"Bezanya, kali ini ia disebut secara terbuka dan telus oleh pihak Perdana Menteri sendiri.
"Penerbangan Malaysia Airlines Berhad (MAB) sudah berdekad menyediakan perkhidmatan sewa khas. Setiap pelanggan sama ada kerajaan mahupun pihak swasta akan membayar segala kos penerbangan dan perjalanan yang dianggap sebagai kos tambang," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Pada Khamis, Anwar memberitahu kira-kira 70 hingga 80 peratus kos perjalanan dan lawatan rasminya ke lima negara ditanggung oleh syarikat swasta yang mengikuti rombongan itu.
Anwar menjelaskan, pendekatan di bawah pentadbirannya itu untuk memastikan perbelanjaan membiayai lawatan rasmi ke luar negara diuruskan secekap mungkin.
Tambah Zairudin, sewaan khas itu termasuk membawa delegasi kerajaan, tokoh pemimpin, selebriti, jenazah dan orang kenamaan.
"Sama juga isu ini, syarikat-syarikat korporat yang membayar tempat duduk mereka dan kos pergerakan adalah pihak yang mempunyai urusan dagang dengan negara berkenaan.
"Justeru kehadiran mereka memang diperlukan demi kepentingan pelaburan dan ekonomi negara. Jadi, tidak timbul isu rasuah atau salah guna kuasa," ujarnya.
Beliau memberitahu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil sendiri menegaskan kerajaan ada menanggung kos tempat duduk manakala sektor korporat ada bahagiannya yang perlu dibiayai.
"Itu bukan konsep rasuah, sebaliknya keterbukaan dan ketelusan,"ulasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!