RISDA bina depo skrap baharu

Manndzri (kanan) melakukan gimik perasmian dengan mengendalikan jengkaut pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Depo Skrap di Kampung Paya Burma pada Sabtu.
Manndzri (kanan) melakukan gimik perasmian dengan mengendalikan jengkaut pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Depo Skrap di Kampung Paya Burma pada Sabtu.
A
A
A

KANGAR - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) mengambil inisiatif membina depo skrap baharu di Kampung Paya Burma di sini, demi membantu pekebun kecil Perlis memasarkan hasil kebun.

Pengerusinya, Manndzri Nasib berkata, pihaknya terus komited dalam memastikan pekebun kecil getah di negeri ini mendapat akses terbaik dalam memasarkan hasil kebun mereka.

Beliau berkata, komitmen ini dibuktikan RISDA melalui penambahan satu depo baharu bagi mengumpul hasil getah di negeri ini yang mampu menampung 10 metrik tan getah skrap dalam satu-satu masa.

"Ia bakal dibina di Kampung Paya Burma, Kangar dengan sasaran bagi menampung hasil sekurang-kurangnya 150 pekebun kecil di kawasan ini.

"Depo ini bertindak sebagai pusat pengumpulan, penilaian kualiti dan penjualan hasil getah kepada pembeli dengan harga yang kompetitif," katanya.

Sebelum itu, Manndzri merasmikan Majlis Perasmian Pecah Tanah Depo Skrap bagi tujuan pembinaan depo lateks di Kampung Paya Burma di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Pengarah RISDA Perlis, Ismail Jaafar.

Beliau menambah, depo berkenaan juga mampu mengurangkan kos pengangkutan dan mempercepatkan pembayaran kepada pekebun kecil.

Artikel Berkaitan:

"Sehingga kini, dua unit depo pengumpulan hasil getah telah dibina RISDA di Perlis iaitu Kubang Siput dan Wang Kelian yang menyokong usaha penjualan hasil getah pekebun kecil," katanya.

Manndzri (tengah) bergambar bersama Pengerusi Depo Paya Burma, Mohd Sobri Ali (empat dari kanan) dan pekebun kecil.
Manndzri (tengah) bergambar bersama Pengerusi Depo Paya Burma, Mohd Sobri Ali (empat dari kanan) dan pekebun kecil.

Manndzri menyatakan, depo sedia ada terbabit telah merekodkan pengumpulan 85,036 kilogram (kg) hasil getah pekebun kecil setakat November tahun ini.

Dalam perkembangan sama, kata beliau, seramai 4,665 pekebun kecil getah aktif dan bergantung kepada hasil komoditi ini di Perlis.

"Ia menuntut RISDA menyediakan fasiliti terbaik dalam usaha meningkatkan produktiviti penghasilan getah, sekali gus dapat menampung keperluan permintaan getah asli domestik dan mengurangkan aktiviti import," katanya.

Ujar beliau, setakat kini RISDA telah membina sebanyak 234 depo pengumpulan getah dengan 208 unit daripadanya adalah depo pengumpulan skrap manakala baki 28 lagi adalah depo pengumpulan lateks.

Manndzri memberitahu, bagi tujuan ini, kerajaan melalui RISDA telah membelanjakan sejumlah RM10.258 juta bagi menyediakan kesemua depo ini bagi kemudahan pekebun kecil.

Menurutnya lagi, RISDA melalui syarikat milikannya iaitu RISDA Plantation Sdn. Bhd. (RPSB) bekerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Getah Malaysia (MARDEC) dalam mengoperasikan depo-depo ini untuk mengurangkan rantaian ‘orang tengah’ dan memberikan harga lebih kompetitif.

Beliau menyifatkan, kerjasama ini penting bagi memastikan pengeluaran getah berkualiti tinggi sambil memaksimumkan nilai komersial getah tempatan termasuk skrap dan lateks.

"RISDA turut menyeru kepada semua pekebun kecil negeri ini untuk memanfaatkan kemudahan depo ini sepenuhnya demi memastikan setiap pekebun kecil menerima hasil pendapatan lebih baik," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!