Kerajaan negeri, Persekutuan sentiasa runding cari titik persefahaman - TPM
KUALA LUMPUR - Kerajaan Persekutuan sentiasa mengadakan rundingan dengan kerajaan negeri bagi mencari titik persefahaman mengenai pelbagai isu berbangkit, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata, tujuan utama lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negeri-negeri adalah untuk bertemu dengan pemimpin tempatan dan mendengar taklimat tentang apa sahaja perkara berbangkit di negeri terbabit.
"Taklimat itu akan membincangkan pendekatan kerajaan Persekutuan dan mendapat maklum balas daripada kerajaan negeri, dari segi projeknya, pelaksanaannya, apa lagi kelemahannya,” katanya pada sesi Townhall Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 yang turut dihadiri Anwar di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, pendekatan rundingan itu diadakan sehingga satu persetujuan diperoleh antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan sebelum ia dilaksanakan, selain menyelesaikan permasalahan yang timbul secara bersama.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi serta bertanggungjawab terhadap hal ehwal Sabah dan Sarawak berkata pendekatan diambil Perdana Menteri telah mengeratkan lagi hubungan di antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri.
Berkenaan persepsi masalah hubungan antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri tertentu yang sering digembar-gemburkan, Timbalan Perdana Menteri berkata, kedua-dua pihak sentiasa mengadakan perbincangan bersama dalam usaha mencari jalan penyelesaian terbaik.
"Sebab itu adanya perbincangan dilakukan. Dalam konteks Sabah dan Sarawak ada MA63 (Perjanjian Malaysia), ada jawatan teknikal dan banyak perkara dipersetujui telah dapat dilaksanakan.
"Sudah pasti masih ada perkara yang belum dipersetujui. Suara-suara itu masih berlaku di Sabah dan Sarawak, tapi kita sentiasa mendengar serta mencari jalan menyelesaikan," katanya.
Fadillah turut memaklumkan terdapat perkara memerlukan masa untuk mencapai penyelesaian kerana perlu diperhalusi terlebih dahulu terutamanya berkaitan tafsiran undang-undang yang berbeza antara negeri dan Persekutuan.
"Ini termasuklah peruntukan dalam keadaan negeri-negeri itu sendiri, sebab setiap negeri ada hak diperuntukkan, asalkan kita dalam lingkungan perlembagaan perundangan.
"Insya-ALLAH, Malaysia akan kekal utuh, kestabilan terjamin untuk membangunkan negara," katanya.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!