Tugu peringatan banjir Kuala Krai kenang peristiwa 2014

Tugu Peringatan Banjir Kuala Krai yang tular selepas banjir besar dijangka berlaku dalam tempoh 10 tahun selepas kali terakhir pada 2014.
Tugu Peringatan Banjir Kuala Krai yang tular selepas banjir besar dijangka berlaku dalam tempoh 10 tahun selepas kali terakhir pada 2014.
A
A
A

KOTA BHARU - Tugu Peringatan Banjir Kuala Krai di bandar Kuala Krai menjadi struktur untuk mengenang kembali peristiwa duka penduduk daerah itu ketika bah kuning 2014.

Sebelum ini mungkin tidak ramai yang menyedari pembinaan tugu berkenaan, namun keadaan cuaca dan ramalan banjir besar berlaku tahun ini, ramai yang berkongsi gambar tugu terbabit.

Penghulu Mukim Guchil, Shaari Che Wil berkata, tugu itu dibina selepas setahun beliau dilantik memegang jawatan berkenaan.

"Pada tahun itu, lebih 7,000 penduduk menjadi mangsa di Kuala Krai dan kira-kira 100 kediaman di Guchil dihanyutkan arus deras," katanya.

Sebelum ini tular di media sosial gambar tugu peringatan banjir itu yang mencatatkan tahun dan bacaan paras air di Kuala Krai.

Tugu berkenaan dirasmikan oleh bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob pada 28 Ogos 2016.

Nota di hadapan tugu itu mencatat sejarah peristiwa banjir yang berlaku di Kuala Krai termasuk tarikh banjir besar yang berlaku di Kelantan iaitu pada tahun 1926 (bah merah), 1931, 1967 (banjir besar), 1979, 2004 dan 2014 (bah kuning).

Nota itu turut mencatatkan rekod paras banjir di Kuala Krai pada tahun 1931 dengan 31.31 meter (m) manakala pada tahun 1979 sedalam 32.03m dan banjir pada 28 Disember 2014 direkodkan paling tinggi iaitu 34.17m.

Artikel Berkaitan:

Justeru, bagi mengingati peristiwa itu, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) bersama Pertubuhan Juruukur Diraja Malaysia (RISM), Majlis Daerah Kuala Krai dan Persatuan Juruukur Tanah Bertauliah (Pejuta) mengambil inisiatif membina Tugu Peringatan Banjir Kuala Krai.

Bah kuning merupakan banjir terbesar dalam tempoh 50 tahun yang mengakibatkan banyak kerugian harta benda, infrastruktur perhubungan dan kemudahan awam musnah.

Dalam pada itu, Shaari berkata, pembinaan tugu itu dapat memberi peringatan kepada generasi baharu bahawa kejadian banjir 10 tahun lalu sangat tragis.

Menurutnya, kawasan tugu di persimpangan lampu isyarat Guchil sentiasa dibersihkan oleh petugas Majlis Daerah Kuala Krai namun mungkin hujan berterusan menyebabkan kerja-kerja pembersihan tertangguh.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!