Polis serbu pusat hiburan, 15 GRO warga asing ditahan
JOHOR BAHRU - Polis menahan 15 wanita warga asing yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) termasuk seorang lelaki warga tempatan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Taman Mount Austin, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, serbuan menerusi Op Noda itu dilakukan pada jam 1.30 pagi.
“Menerusi serbuan ini kita menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 35 tahun yang bekerja sebagai penjaga kaunter dan 15 wanita warga asing berusia 20 hingga 34 tahun yang bekerja sebagai GRO.
“Dalam serbuan tersebut, pihak polis turut pelbagai merampas barangan seperti speaker, mikrofon, helai resit perniagaan serta tiga helai kain selempang,” katanya.
Tambah beliau, hasil siasatan mendapati premis itu disyaki menjalankan perniagaan hiburan tanpa lesen, menggaji pekerja asing tanpa permit dan menyalahgunakan pas lawatan serta bekerja tanpa permit yang sah.
"Semakan lanjut mendapati kesemua tangkapan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
"Bagaimanapun, seorang suspek dikenakan reman selama dua hari bermula hari ini manakala 15 suspek lagi dibenarkan untuk direman selama empat hari bermula hari ini," katanya.
Katanya, kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 55b Akta Imigresen 1959/63 iaitu menggaji pekerja warga asing tanpa permit sah dan bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk serta berada di Malaysia tanpa dokumen yang sah.
"Mereka turut disiasat di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6(2) Enakmen Negeri Johor serta Seksyen 3(1) Undang-undang Kecil Pelesenan, Perniagaan dan Perindustrian kerana menjalankan kerja tanpa lesen," katanya.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti tidak bermoral boleh menghubungi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!