Pahang berjaya raih kutipan hasil RM1,144,476,281.93 melebihi sasaran
RAUB - Kerajaan Pahang terus melakarkan kecemerlangan dalam kutipan hasil apabila berjaya mencatatkan kutipan sebanyak RM1,144,476,281.93 melebihi sasaran yang telah ditetapkan RM1.137 bilion.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kejayaan tersebut membuktikan perancangan dan kajian teliti kerajaan negeri untuk memastikan sasaran kutipan tercapai.
Menurutnya, Pahang telah membuktikan dengan kutipan melebihi sasaran setiap tahun.
“Ini bermakna apa yang kita buat, apa yang kita rancangan bukanlah kita buat ikut suka kita.
“Kita ada penelitian, perancangan, kajian dan kita tetapkan sasaran. Sebab itu sasaran kita boleh capai sepertimana yang saya bentangkan pada bajet yang lepas," katanya.
Beliau berkata demikian selepas perasmian penutupan Karnival Tanah Pahang Peringkat Negeri Pahang Tahun 2024 di Dewan Tititwangsa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang Kampus Raub di sini pada Rabu.
Wan Rosdy berkata, pada 29 November ini, Pahang akan membentangkan Belanjawan 2025 dan berharap sasaran seterusnya dapat dicapai pada tahun depan.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan berita gembira yang dinanti-nantikan semua penjawat awam Pahang itu akan dibentangkan pada belanjawan tersebut.
“Seperti biasa sudah pasti ada (berita gembira), tapi banyak mana, saya belum putuskan lagi dengan rakan-rakan dalam kerajaan negeri kerana kita akan mengambil kira semua pandangan terutama daripada Pegawai Kewangan Negeri, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.. dan selepas itu baru kita buat keputusan.
“Pokoknya ada..dan kalau lihat rekod prestasi kepimpinan saya, kita tidak pernah gagal membayar bantuan kewangan kepada pegawai dan kakitangan kerajaan,” tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!