Dua tahun kerajaan Madani, kadar bantuan kepada rakyat meningkat - PM
KUALA LUMPUR - Kadar bantuan yang disalurkan kepada rakyat antaranya Sumbangan Tunai Rahmah (STR) mencatatkan peningkatan sepanjang dua tahun pentadbiran Kerajaan MADANI, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, jumlah bantuan STR yang diperuntukkan ialah RM10 bilion, selain peningkatan bantuan sekolah, bantuan kesihatan dan sekolah bagi anak autisme.
"Kalau dilihat tahun-tahun sebelum ini, dari segi bantuan kepada rakyat itu, peningkatan (tahun ini) adalah sangat tinggi yang belum pernah dilakukan.
"Dilihat dari segi angka, baik STR, bantuan untuk orang miskin, Orang Kurang Upaya (OKU) dan anak-anak yang bersekolah, ini antara bantuan yang meningkat secara pantas yang belum tercatat sebelum ini," katanya pada Sesi Townhall Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini pada Sabtu.
Sementara itu Anwar berkata, tempoh dua tahun adalah terlalu awal untuk menilai pencapaian keseluruhan kerajaan, namun beliau menyifatkan negara kini berada di landasan yang betul.
Beliau berkata, kerajaan pimpinannya sentiasa mengadakan rundingan baik dengan negeri pembangkang khususnya dalam soal kebajikan rakyat.
"Soal urusan (rakyat), kerajaan runding baik apa keperluan dan kita laksanakan, perbezaan politik kita ketepikan dan saya tidak nampak penentangan dalam hal ini.
"... soal yang dibangkit iaitu royalti, saya bagi angka (peruntukan) untuk Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu itu jauh lebih tinggi dari tahun sebelumnya,” katanya.
Anwar turut menyeru semua pihak bekerja sebaik mungkin, serta memastikan tata kelola berada di tahap tertinggi.
"Jangan anggap kita buat terbaik, bagaimana nak tahu kita baik atau tidak? Kita dengar pandangan lain dan banding kekuatan dengan negara lain.
"Kita tengok persaingan begitu hebat, jangan banding dengan negara lemah tetapi banding dengan negara maju serta lihat apa aspek yang boleh pelajari,” katanya.
Sementara itu pada program sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak pernah memilih dalam menyalurkan peruntukan kepada negeri, termasuk kepada pembangkang.
"Saya tidak fikir (peruntukan) itu cukup, tapi tanpa saya minta.. sudah pasti Perdana Menteri apabila turun ke negeri-negeri akan mengumumkan sendiri (peruntukan)... dan tidak ada warna berbeza samada hijau, biru atau lain-lain. Ini adalah keadilan yang dituntut rakyat,” katanya.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!