Kos tanggung sendiri, 47 kanak-kanak tadika pergi rombongan naik kapal terbang
KUANTAN - Keterujaan 47 kanak-kanak dari dua tadika di sini menaiki kapal terbang buat kali pertama mencuri perhatian ramai selepas rakaman video mereka tular di media sosial.
Video yang dikongsi oleh seorang guru menunjukkan riak kanak-kanak tersebut penuh bersemangat ketika memasuki pesawat di Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Tingkah laku mereka yang melambai-lambai, tersenyum lebar dan melompat kegembiraan bersama 13 guru dari Tadika Muslim Juniors Prima Jaya, Kampung Padang dan Muslim Juniors Prima Pintar, PSJ Sungai Karang mencuit hati netizen.
Pengusaha tadika terbabit, Wan Noor Azni Wan A R Azizan berkata, program bertemakan Kepelbagaian Pengangkutan di Malaysia itu memberi pengalaman unik apabila turut menggunakan perkhidmatan kereta api.
Menurutnya, pada awal tahun lalu, pihak tadika pernah membawa pelajar menaiki bas ke kem 'survival' di Kuantan, namun kali ini mereka ingin mencuba sesuatu yang lebih istimewa buat kanak-kanak tersebut.
"Kita rancang untuk naik kapal terbang, jadi kami terlebih dahulu mendapatkan maklum balas daripada ibu bapa kerana isu kos yang agak tinggi.
"Alhamdulillah sambutan sangat positif apabila ibu bapa memberikan sokongan penuh dan sanggup mengeluarkan belanja," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Sebaik tiba di KLIA, rombongan guru dan kanak-kanak berumur tiga hingga enam tahun itu meneruskan perjalanan dengan menaiki Express Rail Link (ERL) ke KL Sentral serta seterusnya menggunakan Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) ke Kuala Lumpur City Centre (KLCC) bagi melawat Petrosains.
Ujar Wan Noor Azni, kos perbelanjaan adalah kira-kira RM300 hingga RM350 seorang termasuk tiket kapal terbang berharga RM200.
"Kira ada membuat kutipan sebanyak RM170 hingga RM180 daripada ibu bapa, tanpa sebarang tajaan daripada mana-mana pihak.
“Walaupun cabaran pembelian tiket hanya dilakukan kurang daripada sebulan sebelum program, ibu bapa sangat memahami,” katanya.
Tambah Wan Noor Azni, program itu bukan sahaja memberi pengalaman baharu kepada kanak-kanak, tetapi juga membuktikan keupayaan pihak tadika dalam menguruskan program berskala besar.
Dengan pengalaman menguruskan tadika selama 15 tahun, beliau yakin mampu merancang aktiviti yang lebih unik pada masa hadapan.
“Alhamdulillah, walaupun idea ini timbul kurang dua bulan sebelum program, ia berjaya direalisasikan.
"Kami akan terus berusaha memberikan pengalaman baharu kepada kanak-kanak ini pada masa akan datang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!