Hanya imbas baucar bayar saman diskaun 60 peratus

Pengunjung menyelesaikan bayaran saman trafik dengan hanya mengimbas kod QR baucar diskaun 60 peratus sambil dibantu anggota polis trafik. FOTO SINAR HARIAN-ROSLI TALIB.
Pengunjung menyelesaikan bayaran saman trafik dengan hanya mengimbas kod QR baucar diskaun 60 peratus sambil dibantu anggota polis trafik. FOTO SINAR HARIAN-ROSLI TALIB.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Orang ramai tidak perlu beratur panjang di kaunter untuk melunaskan bayaran saman trafik, sebaliknya hanya mengimbas kod QR baucar potongan harga 60 peratus yang diberikan oleh anggota polis dalam program Dua Tahun Kerajaan Madani (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini.

Pelajar, Sharifah Nadzirah Syed Adnan, 26, berkata, inisiatif pengurangan saman trafik oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu menjimatkan masa dan tidak membebankan, malah boleh diselesaikan dalam waktu singkat.

Menurutnya, kaedah pembayaran hanya perlu menggunakan telefon pintar dan mendaftar masuk aplikasi MyBayar Saman PDRM terlebih dahulu.

“Saya tolong selesaikan saman mak yang lama-lama. Daftar masuk MyBayar Saman, isi maklumat dan pegawai polis trafik akan beri baucar kod QR untuk diimbas.

“Kemudian, semak dan pilih mod bayaran, pegawai akan bantu. Jadi, orang ramai kena datang kerana dalam program ini sahaja boleh dapatkan diskaun 60 peratus.

“Mudah, tak membebankan dan tak payah beratur panjang. Saman trafik mak saya cecah RM1,500 tapi dengan diskaun 60 peratus, kurang kepada RM600 sahaja. Sebelum ini memang tak perasan kena saman,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Sabtu.

Program 2TM bertemakan 'Madani di Hati, Rakyat Disantuni' bermula jam 9 pagi hingga 6 petang dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan daripada kementerian, agensi serta jabatan kerajaan kepada rakyat.

Difahamkan, semua jenis saman trafik boleh dilangsaikan kecuali saman kemalangan, bicara mahkamah, kategori tidak boleh kompaun (NC), memotong secara berbahaya, menggunakan lorong kecemasan, melanggar lampu isyarat merah, ubah suai ekzos motosikal atau kereta dan kesalahan berkaitan kenderaan berat.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pegawai pengangkutan, K Sivanendran, 48, berpandangan, pendekatan menyelesaikan tunggakan saman seperti itu sangat mudah malah pengunjung tidak perlu melalui prosedur rumit.

Dia dan keluarga yang datang dari Seremban, Negeri Sembilan menambah, perjalanan selama dua jam ke KLCC memang berbaloi kerana tidak perlu bimbang dengan bebanan saman trafik lagi.

"Kami hanya bayar RM130 hari ini (Sabtu), asalnya saman dalam sistem tertulis RM300.

“Baguslah kerana kami dapat jimat duit, cuma kena gigih datang ke sini (KLCC),” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!