Sungai Golok: Sindiket seludup PATI mula ubah taktik

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang menyeberangi Sungai Golok melalui pangkalan haram mulai 1 Disember ini sebagaimana arahan dikeluarkan pada Isnin. Gambar kecil: Muhammad Suzrin
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang menyeberangi Sungai Golok melalui pangkalan haram mulai 1 Disember ini sebagaimana arahan dikeluarkan pada Isnin. Gambar kecil: Muhammad Suzrin
A
A
A

SHAH ALAM - Sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) mula mengubah taktik di sepanjang Sungai Golok untuk merentasi sempadan.

Ia berikutan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan akan menahan mana-mana individu yang menggunakan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok untuk merentasi sempadan Malaysia-Thailand, berkuat kuasa 1 Disember depan.

Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Muhammad Suzrin Muhammad Rodhi berkata, modus operandi sindiket dikesan sedikit berubah ekoran beberapa siri tangkapan yang dilakukan terhadap tekong serta transporter.

Laporan khas muka depan akhbar Sinar Harian mengenai isu sempadan di Sungai Golok pada 26 Februari lalu.
Laporan khas muka depan akhbar Sinar Harian mengenai isu sempadan di Sungai Golok pada 26 Februari lalu.

Katanya, PATI dilihat bergerak dalam kumpulan-kumpulan kecil serta menggunakan kenderaan awam bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Bagaimanapaun, unit risikan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara serta unit risikan peringkat batalion telah digerakkan untuk membuat pemantauan serta pemeriksaan di stesen-stesen bas di sekitar pekan Rantau Panjang, Pasir Mas serta Tanah Merah di Kelantan.

"Pemeriksaan ini berjaya membuat beberapa siri tangkapan PATI," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas kenderaan awam seperti teksi dan bas yang melalui sekatan jalan raya dan sekat pintas juga telah di pertingkatkan bagi mengesan PATI yang cuba masuk ke dalam negara.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, tambah Muhammad Suzrin, bagi jenayah penyeludupan barangan, modus operandi sindiket masih sama.

Katanya, sindiket membawa masuk barangan secara kecil-kecilan melalui pangkalan haram menggunakan perahu dan dibawa keluar melalui lorong-lorong tikus yang terdapat di sepanjang Sungai Golok.

Tegasnya, PDRM tidak akan berkompromi dengan aktiviti penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand.

"Ketegasan PDRM dapat dilihat dengan statistik tangkapan Op Taring Wawasan Kelantan sejak 1 Januari lalu hingga sekarang telah mencatatkan lebih 1,600 kes dengan nilai rampasan melebihi RM80 juta," ujarnya.

Berkenaan aktiviti merentas sempadan melalui jalan yang tidak diwartakan, kata beliau, PDRM telah menyatakan pendirian tegas berkaitan larangan terbabit, tindakan penguatkuasaan di bawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 akan dikuatkuasakan sepenuhnya mulai 1 Disember 2024.

"⁠Antara pendekatan awal yang telah dilaksanakan ialah meletakkan notis pemberitahuan larangan rentas sempadan di lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti sering digunakan bagi tujuan tersebut.

"Petugas PGA juga telah ditempatkan di lokasi panasbagi membuat pemantauan mengekang aktiviti rentas sempadan serta penyeludupan.

"Kekuatan Op Taring Wawasan Kelantan telah ditambah bagi memastikan kawalan di kawasan panas merentas sempadan dikawal dan dipantau secara 24 jam," katanya.

Jelasnya, PDRM juga membuat beberapa sesi perbincangan melibatkan agensi penguat kuasa sempadan negara dan kerajaan negeri.

"Ini sebagai usaha menangani isu penyeludupan di sempadan negara termasuk juga menyemak semula pengoperasian Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) untuk memudahkan proses keluar masuk orang awam terutamanya pelajar sekolah yang terkesan dengan penguatkuasaan larangan merentas sempadan melalui jalan yang tidak sah," katanya.

Pada 26 Februari lalu, Sinar Harian secara eksklusif melaporkan PATI yang memasuki ke dalam negara melalui Sungai Golok hanya memerlukan kira-kira lima minit dengan menaiki bot.

Berikutan itu, kerajaan Thailand menyambut baik cadangan kerajaan Kelantan untuk membina tembok keselamatan dan kawalan banjir di sepanjang sempadan Sungai Golok-Rantau Panjang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!