11 mangsa banjir ditempatkan di PPS
SEGAMAT - Seramai 11 mangsa banjir ditempatkan di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Balai Raya Gemereh 4, Batu Badak di sini, petang tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), Mohd Masni Wakiman berkata, PPS berkenaan dibuka pada jam 2 petang apabila air mula melimpah ke kawasan penempatan penduduk.
“Kesemua 11 mangsa itu membabitkan enam lelaki dan tiga wanita serta dua kanak-kanak lelaki dipindahkan susulan berlaku limpahan air di Sungai Muar Segamat.
"Bagaimanapun, pemantauan berterusan akan dijalankan oleh agensi berkaitan dari semasa ke semasa," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, penduduk di kawasan terjejas dinasihatkan akur dan sentiasa bersedia apabila diminta oleh pihak berkuasa untuk berpindah ke PPS.
Menurutnya, situasi dijangka menjadi bertambah sulit berikutan air berkemungkinan bertambah naik berdasarkan kepada ramalan hujan lebat berterusan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!