Warga emas maut dalam kemalangan dua kenderaan
KOTA BHARU - Seorang wanita warga emas maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta Proton Wira dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 46 Jalan Gua Musang-Kuala Krai pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, warga emas berusia 81 tahun itu merupakan penumpang hadapan MPV Toyota Unser yang dalam perjalanan dari Kuala Krai menghala ke Gua Musang.
Beliau memberitahu, turut bersama dalam MPV yang dipandu lelaki berusia berusia 49 tahun itu ialah seorang lagi penumpang berusia 46 tahun.
"Kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam apabila pemandu MPV gagal mengawal kenderaan kerana secara tiba-tiba sebuah kereta Proton Wira dari bahu kiri jalan masuk ke laluan utama.
"MPV yang terlanggar kereta Proton Wira dari arah belakang kemudian berpusing dan terbabas di bahu kiri jalan," katanya melalui kenyataan pada Sabtu.
Beliau memberitahu, akibat kejadian itu, kesemua mereka dibawa ke Klinik Chiku Tiga namun warga emas itu disahkan meninggal dunia.
Choon Foo berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menyalurkan maklumat di Trafik Ibi Pejabat Polis dan Daerah (IPD) Gua Musang bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!